Binastra peroleh kontrak bina apartmen di Bandar Tasik Selatan bernilai RM315 juta

Business & Finance
7 Jun 2024 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Binastra peroleh kontrak bina apartmen di Bandar Tasik Selatan bernilai RM315 juta

herman

07/06/2024 - 18:18

KUALA LUMPUR 7 Jun - Binastra Corporation Berhad menerima kontrak pembinaan apartmen daripada Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd bernilai RM315 juta.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata, anak syarikat miliknya, Binastra Builders Sdn Bhd menerima surat anugerah (LoA) pada 7 Jun 2024 bagi projek berkenaan yang terletak di Jalan Tasik Selatan 31, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Katanya, kontrak tersebut merangkumi pembinaan dua blok apartmen setinggi 40 tingkat, tempat letak kereta lapan tingkat dengan fasiliti kemudahan penduduk setingkat, sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebuah rumah pengawal keselamatan.

"Kontrak ini akan disiapkan dalam tempoh tiga puluh tiga (33) bulan dari tarikh permulaan, yang sementara dijadualkan pada 8 Julai 2024," katanya hari ini.

Jelas Binastra, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 hingga 2028.

"Kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk Kumpulan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang," jelasnya.

Menurut pemakuman itu, kontrak ini tertakluk kepada mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk menjalankan transaksi berkaitan pihak yang berulang pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang yang dijadualkan pada 3 Julai 2024 (Mandat Pemegang Saham). - DagangNews.com