Bintang muda Ecuador maut kemalangan

WorldFootball
13 Nov 2024 • 11:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kereta yang dinaiki Angulo setelah terlibat dalam kemalangan bulan lalu. Foto Agensi

SELEPAS sebulan bertarung dengan nyawa akibat kemalangan kereta, pemain bola sepak antarabangsa Ecuador, Marco Angulo meninggal dunia pada usia 22 tahun.

Khabar sedih itu dikongsi Persekutuan Bolasepak Ecuador dalam satu kenyataan pada Rabu.

Angulo terlibat dalam kemalangan pada 7 Oktober lalu yang turut mengorbankan bekas rakan sepasukannya ketika skuad remaja, Roberto Cabezas.

Beliau mengalami kecederaan kepala dan lebam pada paru-paru serta meninggal dunia di sebuah hospital di Quito selepas seminggu di unit rawatan rapi (ICU).

"Marco bukan sahaja pemain cemerlang, tetapi juga rakan sepasukan yang hebat.

"Dia juga seorang yang ceria dan baik hati. Sentiasa membawa kegembiraan ke mana sahaja dia berada," kata Persekutuan Bolasepak Ecuador.

Angulo bermain untuk juara liga Ecuador, LDU Quito sejak Mac lalu selepas dipinjamkan dari kelab MLS Cincinnati.

Dia membuat penampilan pertama untuk pasukan senior kebangsaan Ecuador pada tahun 2022 dan sudah dua kali mewakili pasukan negaranya.

"Kami amat berdukacita atas kehilangan Marco - seorang suami dan ayah, seorang saudara serta anak dan rakan yang baik.

"Marco meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki yang masih kecil. Dia berusia 22 tahun," kata kenyataan dari kelab Cincinnati.

Menurut laporan media Ecuador, tiga orang termasuk Angulo meninggal dunia daripada lima orang yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved