Bintulu Port berdepan penyusutan nilai pelaburan RM147.9 juta dalam dua dana AmanahRaya

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bintulu Port berdepan penyusutan nilai pelaburan RM147.9 juta dalam dua dana AmanahRaya Image from: Bintulu Port berdepan penyusutan nilai pelaburan RM147.9 juta dalam dua dana AmanahRaya hamden27/11/2026 - 18:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) menganggarkan penyusutan nilai bawaan pelaburannya dalam dua dana unit amanah kendalian AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM) berjumlah RM147.91 juta susulan penurunan nilai aset bersih (NAV) kedua-dua dana berkenaan.

 

Dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia, BPHB berkata anggaran pengurangan nilai bawaan pelaburan Kumpulan antara 6 November 2026 hingga 10 November 2026 berjumlah RM92.24 juta bagi AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF) dan RM55.67 juta bagi AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF).

 

Pengurangan itu berdasarkan penurunan NAV masing-masing sebanyak kira-kira 32.3 peratus bagi ARSTF dan 25.75 peratus bagi ARSIF, seperti dimaklumkan oleh ARIM, anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad.

 

Sehubungan itu, anggaran nilai bawaan pelaburan Kumpulan setakat 10 November 2026 masing-masing berjumlah RM193.34 juta bagi ARSTF dan RM160.45 juta bagi ARSIF.

 

BPHB berkata, angka berkenaan belum diaudit dan merupakan anggaran indikatif, selain tertakluk kepada penilaian akhir dana serta proses perakaunan akhir tahun.

 

Setakat 26 November 2026, jumlah pelaburan Kumpulan dalam ARSTF dan ARSIF masing-masing berjumlah RM205.57 juta dan RM198.02 juta, dengan nilai bawaan masing-masing sebanyak RM193.93 juta dan RM160.94 juta.

 

Kumpulan sedang memantau perkembangan berkaitan dengan teliti dan menilai kemungkinan implikasinya terhadap pelaburan berkenaan, termasuk sebarang kesan terhadap kecairan, penilaian dan kebolehpulihannya.

 

BPHB turut memaklumkan bahawa Kumpulan akan mengambil segala langkah yang tersedia bagi mendapatkan semula sebarang kerugian yang mungkin timbul daripada pelaburan dalam dana berkenaan.

 

Kumpulan juga mengekalkan segala hak dan remedi yang dimilikinya, termasuk hak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap ARIM selaku pengurus dana.

 

BPHB berkata, pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan penting yang memerlukan pendedahan selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved