Binturong jadi sasaran pemburu haram

LocalEnvironment
26 May 2026 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Binturong jadi sasaran pemburu haram
Abdul Kadir memberitahu, binturong antara spesies hidupan liar yang menjadi sasaran pemburu haram untuk dijual di pasaran gelap. Foto Perhilitan
Image from: Binturong jadi sasaran pemburu haram
Nilai harga pasaran gelap bagi seekor binturong adalah RM10,000 hingga RM15,000. Foto Perhilitan

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesan kegiatan pemburuan haram hidupan liar dilindungi bagi spesies binturong untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, binturong atau nama saintifiknya Arctictis Binturong merupakan mamalia arboreal daripada keluarga musang (Viverridae) yang terdapat di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menurutnya, binturong diklasifikasi dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

"Berdasarkan siasatan jabatan, modus operandi penyeludupan binturong dipercayai sama seperti spesies lain, iaitu hidupan liar tersebut diperoleh daripada pemburu haram sama ada dari hutan di negara ini atau negara jiran sebelum dipasarkan dan dijual di pasaran gelap tempatan atau antarabangsa.

**media[3533186]**

"Nilai harga pasaran gelap bagi seekor binturong adalah RM10,000 hingga RM15,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abdul Kadir berkata, berdasarkan rekod pihaknya, terdapat satu kes rampasan melibatkan spesies binturong dengan tangkapan seorang lelaki warga tempatan bagi tempoh sejak tahun lalu.

Katanya, orang awam yang terlibat dalam aktiviti pemilikan spesies ini tanpa permit khas, boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tegasnya, Jabatan Perhilitan memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah hidupan liar supaya menghentikan aktiviti tersebut dengan segera atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang berat.

"Selain itu, jabatan juga menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat atau melaporkan aktiviti jenayah hidupan liar melalui Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau melalui e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," ujarnya.

View Original Article