Biodiesel: KPK Manfaat Potensi ‘Emas Hijau’, Jadi Perisai Keselamatan Tenaga

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 1:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Biodiesel: KPK Manfaat Potensi ‘Emas Hijau’, Jadi Perisai Keselamatan Tenaga

Sektor sawit Malaysia tidak pernah sunyi daripada gelombang tekanan serta penelitian geopolitik antarabangsa. 

Sejak sekian lama, industri ‘emas hijau’ negara ini terpaksa mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan berat, terutama kempen antiminyak sawit agresif dari dunia Barat. 

Naratif usang kononnya pembukaan ladang sawit menjadi punca utama deforestasi global, pemusnahan habitat hidupan liar, serta dakwaan pelanggaran hak asasi pekerja sentiasa ditiupkan tanpa asas yang adil. 

Prejudis mendalam ini akhirnya menjelma dalam bentuk sekatan perdagangan yang bersifat diskriminasi, demi mengekang penguasaan pasaran minyak sawit Malaysia di peringkat global.

Namun, sejarah membuktikan industri ini mempunyai daya tahan luar biasa. Kini, ketika dunia Barat sibuk menuding jari, sektor sawit tempatan sekali lagi diuji badai geopolitik global yang berbeza, susulan ketegangan meruncing di Asia Barat. 

Krisis berlarutan di rantau itu bukan sekadar mengancam kestabilan politik sejagat, malah mencetus kejutan rantaian terhadap ekonomi global menerusi ketidaktentuan bekalan petroleum dan lonjakan harga minyak mentah dunia. 

Bagi Malaysia, gangguan pasaran minyak fosil ini membawa impak tersendiri. Selain melonjak kos input pertanian seperti baja dan menekan logistik pengangkutan, pada masa sama ia turut membuka dimensi baharu, meletakkan minyak sawit sebagai perisai keselamatan tenaga negara yang paling kritikal.

Di sinilah letaknya kelebihan luar biasa Malaysia yang tidak dimiliki negara lain. Puncanya, kita mengusahakan sawit secara lestari di tengah-tengah salah satu kawasan biodiversiti mega terkaya di dunia. 

Sebagai antara pengeluar terbesar minyak sawit global, khazanah ini bukan lagi sekadar komoditi makanan, tetapi aset strategik yang wajib digembleng sepenuhnya. 

Menyedari hakikat ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di bawah teraju Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengambil langkah proaktif, mengorak langkah memperkukuh pengeluaran mampan domestik sambil memanfaatkan krisis tenaga global untuk memposisikan biobahan api tempatan ke peringkat tertinggi.

Komitmen berani ini diterjemahkan menerusi pelaksanaan mandat biodiesel B15 iaitu campuran 15 peratus biodiesel sawit dengan 85 peratus diesel petroleum bermula Jun 2026. Menaikkan kadar adunan daripada B10 kepada B15 terbukti langkah makroekonomi bijak. 

Ia bukan sekadar mengurangkan kebergantungan negara kepada import bahan api fosil yang kian bergolak, malah meningkatkan permintaan domestik terhadap Palm Methyl Ester (PME), sekali gus menjamin pendapatan lebih adil bagi ratusan ribu pekebun kecil di seluruh negara.

Memetik penegasan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad: "Transformasi ke arah B15 bukan sekadar langkah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, tetapi ia satu kenyataan tegas kepada dunia bahawa Malaysia mampu mengimbangi tuntutan keselamatan tenaga domestik tanpa merobek khazanah biodiversiti yang menjadi identiti bumi bertuah ini".

Langkah strategik kerajaan ini tidak terhenti di peringkat hiliran domestik. Sebagai pelan jangka panjang bagi merancakkan pengeluaran di peringkat perusahaan tempatan, kerajaan meluluskan peruntukan khas di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) melalui Rolling Plan 1. 

Peruntukan ini disalurkan khusus untuk menaik taraf kemudahan pengadunan di empat depoh strategik, iaitu di Sandakan, Tawau dan Sepanggar Bay di Sabah, serta Bintulu di Sarawak. Naik taraf infrastruktur ini persediaan konkrit bagi membolehkan ekosistem industri kita menerima mandat biodiesel yang lebih tinggi, iaitu B20 dan B30 pada masa hadapan.

Secara saintifik, evolusi adunan biodiesel dari B10, B15, sehinggalah unjuran B20 membuktikan komitmen mitigasi karbon negara. Jika B10 sekadar menjadi asas awal mengurangkan emisi, B15 pula muncul sebagai 'titik optimum' semasa.

Formula B15 menawarkan pengurangan gas rumah hijau (GHG) dan sulfur dioksida yang signifikan tanpa memerlukan modifikasi drastik pada enjin kenderaan sedia ada. 

Sementara B20 yang menjadi sasaran masa depan, diramalkan mampu menurunkan emisi karbon kitaran hayat melebihi 20 peratus berbanding diesel fosil tulen, suatu sumbangan besar kepada usaha menangani perubahan iklim yang mengancam biodiversiti hutan kita.

Bagaimana pula dengan potensi pasaran antarabangsa? Di sinilah pasaran eksport biodiesel sawit Malaysia bersinar sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu. 

Ketika dunia luar bergelut dengan kos tenaga tinggi dan tekanan undang-undang hijau, biodiesel Malaysia menawarkan penyelesaian sedia ada yang mematuhi standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

MSPO memastikan komitmen sifar deforestasi, perlindungan kawasan bernilai pemuliharaan tinggi (HCV) dan pengekalan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi hutan alam kekal terpelihara. Ia rekod yang gagal ditandingi kebanyakan negara maju.

Potensi eksport komoditi hijau ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan baharu dalam bentuk pertukaran wang asing, malah ia strategi serantau yang ampuh untuk menangani kesan peningkatan kos logistik global. 

Dengan mengeksport biodiesel ke negara jiran dan pasaran global yang terdesak mencari alternatif tenaga bersih, Malaysia mampu mengimbangi kos pengangkutan laut yang tinggi melalui premium produk lestari. 

Kelebihan penawaran biodiesel berasaskan biodiversiti yang mampan ini memberikan Malaysia kuasa rundingan yang lebih kuat dalam memecahkan tembok prejudis perdagangan antarabangsa.

Secara keseluruhan, landskap geopolitik mencabar dan prejudis luar bukanlah titik noktah bagi industri sawit kita. Sebaliknya, ia pemangkin yang mematangkan strategi negara. 

Di bawah pelan strategik KPK, mandat B15 dan persediaan infrastruktur RMK-13 membuktikan Malaysia tidak perlu mengorbankan alam sekitar demi kemajuan ekonomi. 

Sebaliknya, kita ada acuan tersendiri, menukar rintangan global menjadi kekuatan domestik dan memposisikan biodiversiti bukan sebagai beban, tetapi sebagai kelebihan mutlak yang meletakkan Malaysia selangkah di hadapan negara-negara lain. - Getaran, 15 November 2026

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved