Bioeconomy Corp, TusStar Malaysia bekerjasama rancakkan industri bioteknologi Malaysia dan China

6 Mar 2024 • 3:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bioeconomy Corp, TusStar Malaysia bekerjasama rancakkan industri bioteknologi Malaysia dan China

diyana

06/03/2024 - 15:46

KUALA LUMPUR 6 Mac - Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp) menjalin kerjasama strategik bersama TusStar Malaysia untuk menghubungkan penyedia rumusan teknologi dari China dalam rangkaian TusStar Malaysia dengan rakan-rakan kerjasama yang dibimbing oleh Bioeconomy Corp.

Ini akan mempromosi usaha bersama dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan, ujian peringkat perintis, dan memajukan pengkomersialan dalam sektor-sektor ini, kata agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Menerusi kerjasama ini, TusStar Malaysia yang mewakili syarikat-syarikat teknologi China berhasrat untuk memanfaatkan lebih dari 400 syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator di bawah bimbingan Bioeconomy Corp untuk mengatasi cabaran-cabaran utama dalam sektor agriteknologi, bio kesihatan, dan bio perindustrian.

Dengan lebih dari 300 tapak rangkaian inovasi global merentasi 70 buah negara, TusStar Malaysia menawarkan sokongan menyeluruh bagi syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio Malaysia yang ingin menembusi pasaran China, termasuk perundingan bersemuka, terjemahan dokumen, penambahbaikan panduan pembentangan dalam Bahasa Mandarin, pendedahan media di platform TusStar dan lain-lain lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kepakaran dan sumber daya TusStar Malaysia berperanan besar dalam menyokong pembangunan dan pengkomersialan bioteknologi di Malaysia.

“Ini akan memacu pertumbuhan teknologi yang pesat antara Malaysia dan China, di samping membina hubungan ekonomi yang lebih kukuh di kedua-dua negara, selaras dengan komitmen kami dalam membina bioekonomi untuk semua,” ujar beliau.

Dengan hampir RMB220 bilion (RM 146 bilion) dalam dana modal urus niaga serta rekod prestasi pelaburan dalam lebih dari 22,000 syarikat teknologi inovatif di seluruh dunia, TusStar Malaysia dan rakan-rakan modal urus niaga mereka berminat untuk meneroka peluang di Malaysia.

Menurut Mohd Khairul, Bioeconomy Corp ingin bekerjasama dengan TusStar Malaysia dalam mempromosikan Program TechInnoStar Pitching untuk memudahkan pelaburan asing ke dalam teknologi dan penyedia penyelesaian berasaskan bio di Malaysia.

"Hasil daripada kerjasama awal kami, Fuciphagus Agritech Sdn Bhd, syarikat BioNexus yang terlibat dalam pengekstrakan asid sialik, serta pencetakan 3D sarang burung dan produk-produk berkaitan dengannya, telah berjaya mara ke peringkat akhir Program TechInnoStar Pitching.

“Ini membuktikan daya saing kuat syarikat bioteknologi tempatan kerana Fuciphagus merupakan salah satu daripada lima syarikat Malaysia yang dipilih dalam peringkat akhir daripada ratusan syarikat global yang menyertai program ini.


“Oleh itu, Bioeconomy Corp sentiasa bersedia untuk membantu lebih banyak syarikat di bawah bimbingan kami untuk memanfaatkan peluang-peluang serupa," tambahnya.


Melalui bantuan pertukaran kepakaran, teknologi, dan peluang pelaburan, kerjasama Bioeconomy Corp dengan TusStar Malaysia menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah MOSTI, yang mendorong kemajuan keupayaan bioteknologi Malaysia melalui kerjasama dengan pemain-pemain antarabangsa. - DagangNews.com