BISA Awards angkat nilai keusahawanan

Business & FinanceStartup
10 Mar 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
BISA Awards 2026 bukan sekadar platform meraikan kejayaan perniagaan sebaliknya mengangkat nilai sebenar keusahawanan termasuk inovasi, kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan pemain industri. Gambar kecil: Airol Fadley

SHAH ALAM - BISA Awards bukan sekadar platform meraikan kejayaan perniagaan, sebaliknya menjadi medan mengangkat nilai sebenar keusahawanan termasuk inovasi, kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan pemain industri.

Pengurus Besar Pengiklanan Sinar Karangkraf, Airol Fadley Limin berkata, kriteria pemilihan pemenang bagi BISA Awards merangkumi beberapa aspek utama bagi memastikan pengiktirafan diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak.

“Antara aspek utama ialah prestasi perniagaan termasuk perkembangan dari segi kewangan, operasi serta daya tahan syarikat dalam menghadapi cabaran pasaran.

“Kami juga melihat kepada elemen inovasi sama ada melalui produk, perkhidmatan atau keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain pencapaian komersial, sumbangan kepada masyarakat dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat turut menjadi pertimbangan penting dalam proses penilaian.

“Kami percaya kejayaan sebenar bukan hanya tentang keuntungan malah impak positif kepada komuniti. Amalan kelestarian dan keupayaan membina pertumbuhan mampan untuk jangka panjang juga diambil kira dalam proses pemilihan.

“Panel penilai terdiri daripada pakar industri, ahli akademik dan wakil media bagi memastikan keputusan yang dibuat telus serta berwibawa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap BISA Awards tahun ini dapat menjadi lebih daripada sekadar malam penghargaan kepada pemenang.

“Apabila orang melihat kisah kejayaan pemenang, mereka akan nampak bahawa kejayaan boleh dicapai melalui kerja keras, inovasi dan nilai murni dalam perniagaan.

“Kami mahu anugerah ini menjadi platform inspirasi kepada usahawan dan syarikat lain untuk terus berkembang,” katanya.

Airol Fadley berkata, kekuatan platform media Sinar Harian merangkumi cetak, digital dan media sosial dijangka membantu memperluas capaian kisah kejayaan pemenang kepada masyarakat.

“Saya percaya impak paling besar datang daripada pendedahan media yang kita bawakan. Syarikat menerima pengiktirafan manakala orang ramai pula boleh belajar, mencontohi kejayaan tersebut serta lebih yakin terhadap ekosistem bisnes tempatan.

“BISA Awards juga diharap dapat menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara korporat besar, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pihak kerajaan serta masyarakat,” ujarnya.

View Original Article