BiTaRa tampil single ‘Hingga Akhir Hayat’, bawa mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW

Music
12 Aug 2026 • 1:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: BiTaRa tampil single ‘Hingga Akhir Hayat’, bawa mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW
Tangkap layar video muzik Hingga Akhir Hayat di Youtube. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Kumpulan nasyid Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), BiTaRa (Bicara Tanpa Ragu) tampil dengan single ketiga berjudul “Hingga Akhir Hayat” yang membawa mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW serta kesungguhan umat Islam meneruskan perjuangan Baginda.

Karya yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan UPSI itu dihasilkan oleh Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Mohamad Albaree Abdul dan Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Ts. Abdul Mueiz Rosli yang masing-masing terlibat dalam penghasilan lagu, lirik serta menganggotai kumpulan nasyid tersebut.

Menurut Mohamad Albaree, idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus ketika beliau dan Abdul Mueiz mengikuti ceramah berkaitan sirah, perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW.

“Apabila mendengar tentang perjalanan hidup, perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyampaikan agama, timbul rasa bahawa penghayatan itu wajar diterjemahkan dalam bentuk sebuah lagu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Mueiz berkata ilham berkenaan kemudiannya dikembangkan bersama sehingga menghasilkan lirik dan melodi sebelum karya itu dibawa kepada anggota BiTaRa yang lain untuk dihayati dan dirakamkan.

“Kami mahu lagu ini bukan sekadar sedap didengar, tetapi mampu membawa pendengar menghayati kecintaan dan pengorbanan Rasulullah SAW.

Beliau berkata “Hingga Akhir Hayat” mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Islam walaupun berdepan pelbagai ujian, cacian dan penderitaan.

Katanya, lagu berkenaan turut menyampaikan mesej supaya kecintaan kepada Rasulullah SAW diterjemahkan melalui penghayatan ajaran Islam, kesetiaan kepada agama dan kesungguhan meneruskan perjuangan Baginda.

“Lagu ini juga membawa harapan agar umat Islam terus berpegang kepada ajaran yang dibawa Rasulullah SAW meskipun berdepan perubahan zaman, selain mengharapkan syafaat Baginda dan pertemuan bersama Rasulullah SAW di syurga,” katanya.

BiTaRa turut dianggotai dua warga UPSI iaitu Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan dan Pegawai Tadbir Kanan, Unit Kediaman Luar Kampus, Mohd Fadhli Rosli.

Proses rakaman audio “Hingga Akhir Hayat” dilaksanakan di Smart Audio Music, manakala penerbitan video muzik diterajui Kener Production dengan Zuha bertindak sebagai videografer dan editor.

Penggambaran video muzik berkenaan dilakukan di Ujana Muallim dengan menampilkan suasana yang bersesuaian dengan mesej ketenangan dan penghayatan yang dibawa menerusi lagu itu.

Single ketiga tersebut meneruskan penghasilan karya BiTaRa selepas dua single terdahulu, selain memperlihatkan usaha kumpulan berkenaan menyampaikan mesej pendidikan, dakwah dan nilai kehidupan menerusi seni nasyid.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved