Bitcoin Kembali Stabil, Paras $67,000 Menjadi Sasaran Baharu!

Business & Finance
22 Jun 2026 • 11:00 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Bitcoin Kembali Stabil, Paras $67,000 Menjadi Sasaran Baharu!

Bitcoin kembali mencuri perhatian pasaran kripto selepas berjaya merampas semula paras penting $63,500, sekali gus menghidupkan semula sentimen positif dalam kalangan pelabur.

Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $63,923 iaitu menyusut 0.10% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.

Pemulihan terbaru ini dilihat sebagai petanda bahawa mata wang kripto terbesar dunia itu berpotensi meneruskan kenaikan ke arah $67,000 sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan.

Penganalisis pasaran kini memberi tumpuan kepada zon $62,800 hingga $63,500 yang dianggap sebagai kawasan sokongan kritikal.

Selagi harga Bitcoin mampu bertahan di atas paras tersebut, struktur kenaikan jangka pendek dilihat masih kekal utuh.

Sebelum ini, Bitcoin sempat merosot sehingga sekitar $62,400 sebelum berjaya membentuk paras rendah yang lebih tinggi dan kembali meningkat melepasi zon sokongan yang sebelum ini gagal dipertahankan.

Menurut penganalisis TradingView, kiv1n, pergerakan semasa Bitcoin turut disokong oleh peta kecairan pasaran atau liquidation map.

Beliau menjangkakan Bitcoin berpotensi menuju ke sekitar $67,450 berdasarkan kewujudan kelompok kecairan yang besar berhampiran $67,559.

Kawasan tersebut dilihat mampu menjadi magnet kepada pergerakan harga dan berpotensi mencetuskan fenomena short squeeze, iaitu keadaan apabila pedagang yang bertaruh terhadap kejatuhan harga terpaksa membeli semula Bitcoin, sekali gus mempercepatkan kenaikan.

Dalam masa sama, penganalisis kripto terkenal, That Martini Guy, turut berpandangan bahawa ramai pedagang sebelum ini terlalu yakin penurunan harga yang berlaku merupakan permulaan trend menurun baharu.

Namun, tindakan Bitcoin yan berjaya mendapatkan semula paras $63,500 menunjukkan pembeli masih menguasai pasaran.

Walaupun begitu, kenaikan semasa masih memerlukan pengesahan yang lebih kukuh.

Sekiranya Bitcoin gagal mempertahankan zon sokongan utama tersebut, pemulihan terkini mungkin hanya menjadi lantunan sementara.

Namun, jika momentum belian terus meningkat, paras $67,000 kini menjadi sasaran utama yang sedang diperhatikan oleh para pedagang.