Bitcoin Masih Tertekan, Perlu Kekalkan Atas $60K

Business & Finance
12 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Bitcoin Masih Tertekan, Perlu Kekalkan Atas $60K

Bitcoin masih berdepan tekanan apabila mencatatkan penurunan untuk hari kedua berturut-turut, dengan harga terus bergelut untuk menembusi paras rintangan penting.

Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin didagangkan pada AS$63,705, meningkat 0.26% sejak pembukaan sesi Asia pada Rabu.

Walaupun sentimen pasaran kekal berhati-hati, beberapa petunjuk teknikal menunjukkan Bitcoin mungkin sudah menghampiri kawasan dasar untuk kitaran semasa.

Fed Hawkish, Geopolitik Tekan Bitcoin

Antara faktor utama yang memberi tekanan kepada Bitcoin ialah pendirian Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat yang masih hawkish.

Dasar monetari yang lebih ketat berpotensi mengehadkan aliran modal ke dalam aset berisiko seperti mata wang kripto.

Pada masa sama, ketegangan geopolitik di Timur Tengah turut menyebabkan pelabur lebih berhati-hati untuk mengambil risiko.

Kebimbangan terhadap keselamatan aset kripto juga meningkat susulan insiden Coldcard yang menyaksikan kelemahan teknikal dieksploitasi.

Anggaran terkini menunjukkan sekitar 1,400 hingga 1,700 BTC telah disalurkan keluar daripada dompet terjejas, dengan nilai melebihi AS$100 juta.

Strategy Jual Bitcoin Lebih AS$440 Juta

Dalam perkembangan lain, bukan semua pelabur besar terus mengumpul Bitcoin.

Strategy milik Michael Saylor dilaporkan telah menjual sekitar 6,916 BTC sejak Jun, dengan nilai keseluruhan melebihi AS$440 juta.

Penjualan tersebut dilakukan dalam empat transaksi berasingan.

Dua transaksi digunakan untuk menambah rizab tunai dalam dolar AS, manakala hasil daripada dua transaksi lain digunakan untuk membeli saham MSTR.

Langkah ini menarik perhatian kerana ia dilihat sebagai perubahan daripada pendirian awal Saylor yang terkenal dengan komitmen untuk tidak menjual pegangan Bitcoin Strategy.

Namun begitu, terdapat juga aktiviti pembelian daripada whale.

Sekitar 30,000 BTC dilaporkan telah dikumpulkan oleh dompet whale pada Ogos ketika Bitcoin bergerak dalam julat sekitar AS$60,000 hingga AS$66,000.

Signal Bullish Masih Kekal

Dari sudut teknikal, signal belian pada carta mingguan Bitcoin masih belum terbatal.

Signal tersebut muncul selepas RSI Bitcoin jatuh ke paras sekitar 30, yang menunjukkan keadaan terlebih jual.

Corak sama sebelum ini pernah memberikan isyarat penting terhadap penghujung fasa bearish Bitcoin.

Dalam dua daripada tiga kejadian terdahulu, signal tersebut muncul berhampiran penghujung bear market sebelum Bitcoin kembali mencatatkan kenaikan.

Namun, keadaan pasaran kali ini agak berbeza.

Bitcoin kini berdepan persaingan daripada sektor teknologi lain seperti kecerdasan buatan (AI) yang dilihat mempunyai penggunaan lebih jelas dan menarik perhatian pelabur.

AS$60,000 Jadi Paras Kritikal

Buat masa ini, paras AS$60,000 menjadi kawasan sokongan paling penting untuk Bitcoin.

Selagi BTC mampu bertahan di atas paras tersebut, peluang untuk berlaku pemulihan masih terbuka dan signal bullish berkenaan berpotensi untuk terus dimainkan.

Sebaliknya, penurunan kukuh di bawah AS$60,000 bakal melemahkan prospek tersebut dan meningkatkan risiko Bitcoin bergerak lebih rendah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved