
MASUK ke dewan bedah dalam keadaan sedar, kemudian bangun semula selepas pembedahan selesai. Hakikatnya, proses itu melibatkan proses kawalan tubuh yang sangat kompleks.
Pernafasan, tekanan darah, tahap oksigen dan keadaan keseluruhan pesakit perlu dipantau sepanjang prosedur bagi memastikan pembedahan berlangsung dengan selamat.
Menurut Pakar Anestesiologi dan Unit Rawatan Intensif Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Dr. Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin, tugas anaesthesiologist (pakar bius) bukan sekadar menidurkan pesakit.
“Ramai orang mengenali anaesthesiologist sebagai doktor yang tidurkan pesakit.
“Saya tidak fikir gambaran itu salah, cuma ia belum lengkap.
“Membuat seseorang ‘tidur’ sebenarnya bukan bahagian yang paling sukar. Cabaran sebenarnya bermula selepas pesakit tidur,” katanya.
Jelasnya, ubat anaesthesia (bius) boleh menyebabkan tekanan darah jatuh dan pernafasan terhenti.
Pembedahan pula boleh menyebabkan kehilangan darah dan pelbagai perubahan kepada tubuh.
Keadaan itu menyebabkan pesakit memerlukan pemantauan berterusan, termasuk kawalan saluran pernafasan, bantuan pernafasan serta pemantauan tekanan darah dan oksigen.
Dalam sesetengah keadaan, mesin akan mengambil alih tugas pernafasan buat sementara waktu kerana pesakit tidak mampu bernafas sendiri akibat kesan ubat anaesthesia.
Dr. Tengku Abdul Kadir berkata, perkembangan pembedahan moden turut menjadikan peranan anaesthesiologist semakin luas termasuk memastikan tubuh pesakit kekal stabil.
“Tugas anaesthesiologist berkembang daripada sekadar menghilangkan kesakitan kepada menjaga tubuh manusia sepanjang pembedahan.
“Kami menjaga saluran pernafasan, mengawal pernafasan apabila diperlukan, menyokong tekanan darah dan memerhati perubahan pada tubuh melalui pelbagai alat pemantauan.
“Semua ini berkembang bersama kemajuan pembedahan.

“Kemajuan perubatan kini membolehkan pembedahan kompleks seperti pembedahan jantung, pemindahan organ dan prosedur menggunakan teknologi robotik dilakukan dengan lebih selamat,” katanya.
Ujarnya, kecanggihan teknologi tidak mengubah keperluan asas tubuh manusia yang masih memerlukan oksigen, pernafasan dan tekanan darah terkawal.
Menariknya, sesetengah awake craniotomy (pembedahan otak) pula memerlukan pesakit disedarkan pada tahap tertentu supaya doktor dapat menilai fungsi otak ketika prosedur berlangsung.
Terangnya, di fasa itu, pesakit boleh bercakap atau melakukan tugasan tertentu bagi membantu pasukan pembedahan mengenal pasti kawasan otak yang perlu dipelihara.
“Anaesthesia bukan sekadar persoalan bagaimana hendak ‘menidurkan’ seseorang.
“Sebaliknya, kami perlu jawab persoalan, apakah yang diperlukan oleh tubuh dan tahap kesedaran pesakit pada setiap fasa pembedahan?” katanya.
Tambahnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar pula berpotensi membantu doktor mengesan perubahan fisiologi pesakit dengan lebih awal.
Namun tegasnya, teknologi tidak bermakna manusia mempunyai kuasa mutlak terhadap tubuh kerana tindak balas setiap pesakit berbeza.
“Kita (pasukan perubatan) tidak pernah mempunyai kuasa mutlak terhadap tubuh manusia.
“Kami belajar memahami fisiologi dengan menggunakan ubat.
“Mesin pula mengambil alih sebahagian fungsinya buat sementara waktu, dan semua itu ada batasnya,” katanya.
The post Bius bukan sekadar tidurkan pesakit appeared first on Kosmo Online.


