
KUALA LUMPUR 16 Dis – Bjak Sdn Bhd, platform insurans dalam talian terbesar di Malaysia sedang mempertimbangkan untuk membuat tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh dua tahun akan datang kerana syarikat itu berhasrat untuk memasuki pasaran Eropah.
Pengasasnya, Wei Low berkata, Bjak mensasarkan pasaran baharu di Sepanyol dan Jerman pada 2026 susulan pengembangan terbaharunya di Jepun, Taiwan dan Thailand.
Beliau berkata, premium kasar yang dicatat syarikat meningkat antara 20% hingga 30% tahun ini dan dijangka berkembang pada kadar lebih pantas pada masa depan apabila Bjak mengembangkan perniagaannya ke pasaran baharu.
“Perniagaan ini telah mencatat keuntungan sejak penubuhannya pada 2019 dan mempunyai hutang ‘sangat minima’.
“Kami masih baharu lagi. Jika anda melihat rakan-rakan kami di pasaran lain yang besar seperti di China atau UK, ia mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk benar-benar memaksimumkan potensi atau meningkatkan penembusan pasaran,” katanya.
Namun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci mengenai maklumat kewangan syarikat dalam sesi temubual bersama Bloomberg itu.
Tambahnya, IPO yang dirancang akan membantu membiayai pengembangan ke luar negara dan menyediakan faedah kewangan kepada pekerja melalui pemberian saham.
"Bjak kini menumpukan perhatian kepada Sepanyol dan Jerman, yang mempunyai pasaran insurans automotif yang semakin berkembang.
“Kami merancang untuk menggandakan jumlah kakitangan di seluruh dunia menjelang akhir 2026 daripada hampir 200 orang pada masa ini,” katanya.
Ditanya mengenai sumber inspirasi pula, beliau berkata, kejayaan Ant Group Co, pengendali aplikasi perkhidmatan kewangan yang terkenal di China, Alipay mendorongnya untuk menubuhkan Bjak pada 2019.
“Walaupun teknologi insurans sudah mantap di pasaran seperti UK, ia berada pada tahap kematangan berbeza di seluruh Asia,” katanya.
Bjak mempunyai tujuh juta pengguna dan 16 jenama insurans, termasuk Allianz SE dari Jerman dan Tokio Marine dari Jepun, di platformnya.
Perjalanan keusahawanan Low bermula pada usia 20 tahun apabila masalah kewangan keluarganya memaksanya berhenti daripada program pra-universiti.
Sebelum menubuhkan Bjak, beliau terlibat dalam perdagangan aluminium dan dua lagi perusahaan e-dagang yang gagal.
Beliau memilih Warren Buffett sebagai idola dan telah membaca semua surat tahunan Berkshire Hathaway Inc yang ditulis pelabur jutawan itu sejak 1965.
Seperti Buffett, Low ingin mengamalkan falsafah perniagaan yang menekankan lebih daripada sekadar kejayaan kewangan.
Low berkata, terdapat satu petikan yang sering ditekankan dan beliau mengamalkan pesanan tersebut iaitu ‘kenal pasti siapa idola anda dan teladani mereka’. -- Bloomberg
