ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memperuntukkan RM138 juta menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) fasa empat yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan fasa terbaharu itu hasil penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat daripada fasa sebelum ini.
Katanya, sebanyak 22 inisiatif diperkenalkan merangkumi pelbagai golongan termasuk warga emas, suri rumah, pasangan muda, peniaga kecil, OKU, anak yatim serta penggerak komuniti.
"Setiap kali kami turun padang dan menyantuni rakyat, kami menerima pelbagai cadangan supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat menikmati bantuan ini.
"Sebab itu, BKJ fasa empat ini kita tambah baik supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat merasai manfaat secara langsung,” katanya pada Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Isnin.
Antara bantuan utama diumumkan termasuk RM200 kepada lebih 307,000 warga emas, RM200 kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja dan RM400 kepada 45,000 pasangan baharu berkahwin.
Selain itu, hampir 30,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar turut menerima RM300 bagi membantu kelangsungan perniagaan.
BKJ fasa empat turut diperluaskan kepada kumpulan lain termasuk murid OKU, anak yatim, ketua isi rumah miskin, pemandu bas dan van sekolah, petugas barisan hadapan serta sukarelawan komuniti.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap peningkatan hasil negeri dipulangkan semula kepada rakyat.
Sementara itu, Johor terus mencatat hasil negeri sebanyak RM1 bilion setakat 30 April tahun ini, meningkat RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh kemasukan pelaburan besar dan pertumbuhan ekonomi negeri.





