
KUALA LUMPUR: Penyanyi Black Hanifah menyifatkan penerimaan generasi muda terhadap lagu-lagu lamanya sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seninya apabila karya yang dihasilkan masih dinyanyikan, malah dikenali kanak-kanak.
Menurut Black, dia berasa bersyukur apabila lagu seperti Sofia Jane dan Teman Pengganti turut mendapat tempat dalam kalangan peminat cilik, sekali gus membuktikan karya berkenaan mampu merentasi batas generasi.
“Bila budak umur lima tahun pun tahu lagu saya, saya sangat bersyukur. Mungkin bila mereka umur 10 tahun nanti, mereka akan terus jadi peminat saya.
“Mungkin juga mereka kenal lagu-lagu saya sebab ibu bapa mereka selalu pasang di rumah. Dari situ lagu itu sampai pula kepada generasi seterusnya,” katanya.
Black berkata, penerimaan sedemikian turut membantunya kekal relevan dalam industri hiburan, selain membuka peluang untuk terus menerima tawaran persembahan terutama pada acara karnival, program keluarga dan majlis yang menghimpunkan penonton pelbagai peringkat usia.
Katanya, lagu yang masih mampu dinyanyikan kanak-kanak yang lahir selepas karya itu dilancarkan merupakan satu bentuk penghargaan yang amat bermakna buatnya.
“Bila budak-budak pun suka, penganjur acara dan karnival masih panggil saya. Jadi secara tidak langsung perkara itu membantu saya untuk terus sustain dan mencari rezeki dalam industri.
“Sebab itu kalau buat lagu sekarang, melodi dan lirik memang kena jaga. Tak boleh buat sambil lewa sebab kita tak tahu sejauh mana sesebuah lagu itu boleh pergi,” katanya.
Dalam pada itu, Black mengakui perkembangan tersebut membuatkannya lebih berhati-hati dalam memilih serta menghasilkan karya baharu kerana mahu memastikan lagu yang dibawa mempunyai nilai dan mampu bertahan untuk tempoh panjang.
Menurutnya, tema cinta masih relevan untuk diketengahkan kerana ia dekat dengan kehidupan manusia tanpa mengira peringkat usia.
“Lagu cinta tetap akan ada. Bercinta ni sampai tua pun orang masih boleh bercinta,” selorohnya.
The post Black Hanifah tidak sangka lagu diminati golongan kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

