BlackBerry perluas operasi di Malaysia dengan pejabat baharu dan pusat sokongan 24 jam

LocalTechnology
13 Aug 2025 • 2:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BlackBerry perluas operasi di Malaysia dengan pejabat baharu dan pusat sokongan 24 jam

image is not available

13/08/2025 - 14:00

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – BlackBerry Ltd, syarikat teknologi dari Kanada, kini memperluaskan operasi bahagian komunikasi selamatnya di Malaysia, mengukuhkan status negara sebagai hab serantau untuk keselamatan siber dan inovasi digital di rantau Asia Pasifik.

BlackBerry sebelum ini telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya pada Mac 2024.

Kini, syarikat itu memperluaskan operasinya dengan menambah kehadiran di dua lokasi utama lain iaitu pusat bandar Kuala Lumpur dan Mont Kiara.

Pengembangan ini turut melibatkan pembukaan pejabat jualan dan pemasaran baharu serta pusat sokongan serantau yang beroperasi 24 jam, dibantu oleh lebih 50 pakar teknikal di ketiga-tiga lokasi tersebut.

Naib Presiden Kanan BlackBerry untuk Asia Pasifik, Tash Stamatelos berkata, langkah itu bertepatan dengan perkembangan Malaysia sebagai hab serantau untuk ketahanan digital dan inovasi dalam berdepan ancaman keselamatan siber yang semakin mencabar.

“Perluasan operasi ini menyokong pelan pengembangan serantau BlackBerry serta keutamaan negara dalam membina kapasiti, mempertingkatkan respons bencana dan melaksanakan komunikasi dengan tahap keselamatan tinggi yang mampu menangani risiko risikan,” katanya.

Kerjasama rapat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memperkukuh sinergi antara sektor awam dan swasta dalam memperkuat ketahanan digital negara.

Beliau berkata, inisiatif itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat komunikasi selamat di rantau ini, serta memperkasakan keupayaan melindungi kerajaan, infrastruktur kritikal dan industri daripada ancaman siber.

“Fasa pertama program latihan bersijil antarabangsa dijadual bermula November 2025, termasuk Program Pensijilan Kepimpinan Keselamatan Siber (CLIC).

“Kerjasama dengan EC-Council akan menyediakan latihan kendiri untuk pegawai awam Malaysia, sekaligus mempertingkatkan kemahiran keselamatan siber negara dan memperkukuh daya tahan digital sektor awam,” katanya.

Dengan langkah ini, BlackBerry berperanan memperkuat ekosistem keselamatan siber Malaysia, sambil membuka peluang pelaburan dan inovasi yang lebih luas dalam bidang teknologi kritikal di era digital.- DagangNews.com

standard