BlackBerry, TalentCorp laksana Program CyberNext, tawar latihan keselamatan siber percuma kepada 1,000 pelajar dan 250 pensyarah

07/05/2025 - 11:17
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 7 Mei – BlackBerry Limited bekerjasama dengan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) bagi melaksanakan Program CyberNext, inisiatif nasional yang menyasarkan pembangunan kemahiran keselamatan siber dalam kalangan pelajar dan pensyarah tempatan.
Dengan sokongan rakan Latihan Malaysia Cybersecurity Center of Excellence (CCoE), termasuk International Information System Security Certification Consortium (ISC2), dan Computing Technology Industry Association (CompTIA), BlackBerry dan TalentCorp menyatakan program berkenaan akan menawarkan latihan keselamatan siber secara percuma kepada 1,000 pelajar dan 250 pensyarah, bermula Julai ini.
Inisiatif CyberNext secara langsung menyokong usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan serta memperkukuh daya tahan siber negara, seiring dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan bakat keselamatan siber tempatan dan kedaulatan digital sebagai keutamaan negara.
Menurut Pengurus Latihan CCoE BlackBerry, Jaclyn Sim, inisiatif itu merupakan antara program utama yang ditawarkan di pusat berkenaan bagi melatih generasi baharu profesional keselamatan siber tempatan untuk bersedia menghadapi cabaran digital masa hadapan.
Program itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, enam bulan dan setahun, sebagai pelengkap kepada pendidikan tinggi sedia ada. Kurikulumnya menekankan pembelajaran berstruktur secara praktikal, pendidikan berasaskan peranan, serta pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Talent Principal TalentCorp, Badrie Abdullah berkata, kerjasama tersebut mencerminkan usaha TalentCorp dalam menangani jurang kemahiran kritikal dan memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
"Profesional dengan kemahiran keselamatan siber sentiasa mendapat permintaan tinggi seperti yang dikenal pasti dalam Senarai Pekerjaan Kritikal TalentCorp, namun bekalan tenaga kerja tempatan masih terhad.
"Melalui CyberNext, kami menyepadukan latihan bertaraf global ke dalam saluran bakat nasional, sekali gus memperlengkapkan pelajar dan pensyarah dengan kemahiran yang relevan dan selaras dengan keperluan industri," katanya dalam satu kenyataan.
Ditubuhkan sebagai pusat pertama seumpamanya di rantau ini, CCoE berfungsi sebagai hab latihan, pensijilan, penyelarasan industri, dan pembinaan ekosistem keselamatan siber negara secara menyeluruh.- DagangNews.com
standard
