
‘Blackout’ Terbesar Dalam Sejarah, Seluruh Semenanjung Pernah ‘Bergelap’ 12 Jam
Hari ini negara digemparkan dengan isu gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan termasuklah di Lembah Klang.
Walaupun mungkin berlaku dalam tempoh yang tidak lama namun sedikit sebanyak ia telah menjejaskan beberapa perkhidmatan seperti di lapangan terbang, pusat beli-belah dan perkhidmatan LRT.
Bagaimanapun, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) beberapa jam kemudian memaklumkan bahawa bekalan elektrik di semua kawasan telah berjaya dipulihkan sepenuhnya.
Difahamkan, gangguan itu berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
Negara pernah blackout pada 1996
Gangguan bekalan elektrik yang dihadapi hari ini mengingatkan kembali kepada situasi hampir sama yang pernah berlaku di Malaysia pada tanggal 3 Ogos 1996.
Bagi yang belum tahu, seluruh Semenanjung Malaysia pernah bergelap selama 12 jam akibat gangguan bekalan elektrik. Ia berlaku disebabkan oleh kerosakan di sebuah stesen janakuasa utama di Paka, Terengganu.

Kejadian itu berlaku pada jam 5.17 petang dan menyebabkan semua stesen jana kuasa di seluruh semenanjung gagal membekalkan kuasa elektrik, lapor Sinar Harian.
Impak daripada kejadian tersebut mencetuskan beberapa kemalangan dan membantutkan aktiviti harian orang ramai.
Lalu lintas sesak
Memetik laporan UPI, gangguan bekalan elektrik itu juga telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Lumpur serta bandar-bandar utama di negeri lain. Tidak cuma itu, penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga tergendala sehingga menyebabkan ribuan orang terkandas.

Malah, peminat bola sepak juga kecewa apabila perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada hari itu juga terpaksa dibatalkan.
Menurut laporan, kerugian yang ditanggung oleh pengilang ketika kejadian dianggarkan sebanyak RM123 juta mengikut perkiraan yang dilakukan Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Pihak TNB pula dilaporkan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM13.6 juta dan RM10 juta. Bahkan, saham utamanya juga telah jatuh mendadak pada ketika itu.
Selain daripada kejadian pada tahun 1996, Malaysia juga turut pernah mengalami kes gangguan bekalan elektrik pada tahun 1992 dan 2003.
BACA: Lembah Klang ‘Blackout’, Netizen Kongsi Suasana Gelap ‘Shopping Mall’ & Beberapa Kawasan Terkesan
Sumber: Sinar Harian, UPI
The post ‘Blackout’ Terbesar Dalam Sejarah, Seluruh Semenanjung Pernah ‘Bergelap’ 12 Jam appeared first on Siakap Keli.
