Blockout 2024: Jangan Terlalu Ekstrem - Menteri

Politics
19 May 2024 • 4:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar X

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya tidak terlalu berlebihan dan ekstrem dalam menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kempen solidariti kepada rakyat Palestin perlu dibuat dengan mengambil kira asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem kepada mana-mana pihak.

“Apatah lagi jika ia melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya,” katanya.

image is not available
Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Gambar fail

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sambutan orang ramai yang kadang kala agak berlebihan, dalam menggerakkan kempen Blockout 2024 yang mula dicetuskan di media sosial.

Kempen yang bermula di luar negara itu melibatkan gesaan agar orang ramai memboikot selebriti atau pempengaruh yang tidak menggunakan medium tersebut sebagai ruang untuk bersuara mengenai kekejaman Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im menyeru agar kempen tersebut digerakkan secara berhemah dan tidak melakukan sebarang provokasi yang menimbulkan rasa kurang senang kepada pihak lain.

“Semua pihak adalah diseru untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat.

“Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam perlu dielakkan sama sekali,” katanya. - Getaran, 19 Mei 2024