Blok akademik, asrama pelajar lelaki terbakar

12 Apr 2026 • 8:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Blok akademik, asrama pelajar lelaki terbakar
Blok akademik, bilik penyelia serta asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Ugama SMU Arab (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Pak Badol,Bachok musnah dalam kebakaran pada Ahad. Foto: VIRAL
Image from: Blok akademik, asrama pelajar lelaki terbakar
Blok akademik, bilik penyelia serta asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Ugama SMU Arab (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Pak Badol,Bachok musnah dalam kebakaran pada Ahad. Foto: VIRAL

BACHOK – Blok akademik, bilik penyelia serta asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Ugama SMU Arab (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Pak Badol di sini musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Menurutnya, semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah berkenaan telah dipindahkan ke kawasan selamat sebaik kejadian berlaku.

"Pihak JPN Kelantan turut mengambil tindakan segera bagi memberi bantuan kepada warga sekolah yang terjejas," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.

Menurut beliau, kebakaran melibatkan tiga blok bangunan jenis kekal dengan tahap kemusnahan berbeza.

"Blok pertama musnah hampir 98 peratus, manakala dua lagi blok masing-masing mengalami kemusnahan sekitar 80 peratus dan 30 peratus," katanya.

**media[3489417]**

Menurut beliau, operasi pemadaman dikawal pada jam 4.10 petang dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pasir Tumboh serta sebuah jentera tanker dari Pengkalan Chepa.

"Seramai 25 anggota terlibat dalam operasi ini dengan menggunakan dua aliran hos sepanjang 400 kaki serta empat pancutan nozel, selain sumber air daripada tangki jentera dan air terbuka," katanya.

Menurut beliau, setakat ini operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.