
Filem aksi Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara kutipan box office tempatan selama tiga minggu berturut-turut.
Dengan pencapaian ini, Blood Brothers: Bara Naga kini tersenarai dalam kutipan tertinggi pecah panggung dunia perfileman di Malaysia dengan pencapaian RM 62 Juta dalam masa 20 hari tayangan dan tayangan awal.

Ini merupakan satu kejayaan buat produksi tempatan, malah membuktikan bahawa filem bergenre aksi sentiasa mendapat tempat di hati penonton.
Bagi meraikan kejayaan luar biasa ini, satu acara gempak telah diadakan di Bukit Bintang Rabu lalu.
Destinasi ikonik tersebut yang sentiasa dipenuhi pelancong dan warga kota, dimeriahkan dengan pengumuman mengejut di papan LED gergasi yang memaparkan jumlah kutipan sebanyak RM 62 juta buat masa ini.
Bukit Bintang telah dipilih sebagai lokasi utama kerana ia melambangkan semangat yang tidak pernah pudar, sejajar dengan jiwa Blood Brothers yang sentiasa membara.
Pada acara tersebut, pelakon-pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, dan Zamarul Hisham hadir bertemu peminat.
Ia turut diserikan dengan kehadiran Datuk Dr. Yusof Haslam selaku legenda perfileman tanah air, bersama pengarah Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.

Untuk menambahkan lagi elemen misteri dan eksklusif, seramai 30 orang individu yang berpakaian sut hitam, menyerupai pengawal peribadi, telah ‘menguasai’ kawasan tersebut, mencipta suasana yang penuh ketegangan dan dramatik.
Kehadiran mereka bagaikan membawa dunia Blood Brothers ‘hidup’ di hadapan mata khalayak ramai.
Selain itu, persembahan akustik oleh Genji Busker yang mendendangkan lagu tema filem, ‘Bara Jiwa’, terus menambahkan kemeriahan dan menjadikan malam tersebut sarat dengan kegemilangan.
Sambutan di tengah-tengah kota ini bukan hanya sekadar promosi, tetapi merupakan satu pernyataan yang jelas: Blood Brothers:Bara Naga akan terus melangkah ke hadapan, terus menarik perhatian, dan semakin mencabar norma dengan caranya yang tersendiri.

“Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini, serta pembaharuan yang terus dihasilkan untuk memajukan lagi industri perfileman tanah air kita. Sokongan padu daripada penonton adalah sumber inspirasi yang besar untuk kami terus berkarya.
“Saya berharap karya-karya ini akan terus menghiburkan serta memberi kesan yang mendalam kepada semua. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus setia menyokong industri perfileman tanah air.
“Semoga karya-karya anak tempatan terus sukses dan mampu menembusi pasaran global”, ulas Datuk Dr. Yusof Haslam.
Jika anda belum saksikan filem ini, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan Blood Brothers:Bara Naga.
Saksikan filem aksi penuh intensiti ini yang sedang menggegarkan layar perak dan rasai sendiri debaran yang menjanjikan pengalaman sinematik luar biasa! - Getaran, 4 Mei 2025
