
Oleh: Rasfan Abu Bakar
Jaime Reyes pulang ke kampung halamannya di Palmera City selepas menamatkan pengajian di Universiti undang-undang Gotham. Setelah itu keluarganya memberitahu bahawa rumah mereka akan dikosongkan kerana berhadapan dengan notis pengusiran akibat masalah kewangan. Jaime yang ingin membantu kemudianya mengikut saranan kakaknya Milagro dengan berkerja di rumah agam Victoria. Walau bagaimanapun mereka berdua dipecat selepas Jaime cuba masuk campur dalam urusan pemilik rumah iaitu Victoria dan anak saudaranya Jenny.
Selepas daripada insiden itu Jenny memberitahu Jaime agar bertemu dengannya di Menara Kord untuk membincangkan tentang peluang pekerjaan baru. Keesokanya Jaime bertemu dengan Jenny di Menara Kord dan kali ini situasinya agak tegang kerana Jenny memberikan satu bungkusan misteri yang baru dicurinya. Jaime membawa balik bungkusan itu dan tanpa diduga satu makhluk berbentuk kumbang berwarna biru telah melompat masuk ke badannya. Kumbang itu telah menjadikan Jaime sebagai perumah dan berupaya menukar fizikal Jaime menjadi satu makhluk yang sangat berkuasa.

Jaime kemudian pergi mencari Jenny untuk mendapatkan jawapan dan tanpa diduga dia telah berhadapan dengan sekumpulan askar Victoria yang sedang mencarinya. Ketika itu berlakulah adegan tembak menembak dan akhirnya mereka berdua berjaya meloloskan diri.
Jenny kemudian memberitahu Jaime bahawa kumbang itu bernama Scarab dan ia adalah satu senjata yang sangat berkuasa. Jenny juga menyatakan bahawa dia boleh mengusir kumbang itu dari tubuhnya tetapi dia perlu mendapakan satu jam tangan khas milik bapanya yang ada di Menara Kord. Setelah membuat perancangan rapi bersama pakciknya, mereka berdua memecah masuk Menara Kord. Ketika hendak keluar muncul pula pengawal peribadi Victoria iaitu Ignacio Carapax. Carapax adalah manusia separuh robot yang mempunyai prototaip OMAC, satu teknologi senjata milik Victoria.


Ketika ini Jaime bertukar menjadi Blue Beetle dan mula bertarung dengan Carapax. Blue Beetle menggunakan pelbagai senjata dan perisai untuk mengalahkan musuhnya. Tetapi Carapax bukan calang-calang lawan. Ini kerana dia merupakan seorang askar yang hebat dan dengan bantuan teknologi OMAC yang ada pada dirinya, ia membuatkan Carapax lebih mudah untuk menundukkan Blue Beetle. Tetapi Blue Beetle berjaya membuat helah dan terus melarikan diri.
Kemudian sekumpulan tentera Victoria telah pergi ke rumah ibu bapanya. Mereka memecah masuk dan menangkap ahli keluarganya. Victoria juga memberi arahan agar mereka semua dibunuh tetapi Blue Beetle sempat datang untuk menyelamatkan mereka. Ketika melarikan diri, bapanya telah diserang sakit jantung dan mati. Blue Beetle pula telah ditangkap dan dibawa kesebuah pulau yang tidak dikenali. Victoria ingin mengeluarkan Scarab dari badan Jaime dan memindahkannya ke badan Carapax.
Jenny mula membuat perancangan untuk menyelamatkan Jaime dari cengkaman Victoria. Mereka menggunakan kapal terbang yang dikenali sebagai Ted's Bugship dan bersiap untuk menyerbu pulau itu. Akhirnya Jaime berjaya ditemui dan bersatu semula dengan keluarganya. Tetapi keadaan tersebut tidak lama kerana dia terpaksa bertarung buat kali terakhir dengan Carapax.

Kali ini Blue Beetle lebih bersedia dan hampir membunuh Carapax. Tetapi Blue Beetle tidak sampai hati untuk menghabiskan nyawa Carapax kerana dia menyedari bahawa Carapax juga sebenarnya telah diperdaya oleh Victoria. Akhirnya Carapax menangkap Victoria dan dengan rasa marah terus berjalan ke arah api yang sedang marak. Mereka berdua kemudianya meletup dan memusnahkan kesemua pulau tersebut.
Filem arahan Angel Manuel Soto ini dianggap lebih berjaya berbanding filem-filem lain keluaran DC. Ini kerana jalan ceritanya lebih ringan serta mudah untuk difahami. Tidak ada plot meleret-leret mahupun unsur warna gelap diterapkan dalam filem ini sepertimana filem-filem keluaran DC yang terdahulu. Ton warna juga lebih ceria disamping menggunakan limpahan warna lampu neon pada tubuh sang perwira. Filem ini turut berjaya memartabatkan budaya kekeluargaan Amerika latin.
Pelakon yang melakonkan watak-watak dalam filem ini juga turut beraksi dengan cemerlang. Xolo Maridueña yang memegang watak Jaime @ Blue Beetle berjaya menghidupkan watak tersebut dengan penuh kelucuan. Watak pakciknya iaitu Rudy Reyes lakonan George Lopez boleh dianggap penyeri dalam filem ini. Dialog lucu serta bahasa tubuh yang digunakan benar-benar mempersonakan. Diharapkan juga filem ini akan membuka satu lembaran baru yang lebih positif buat DC setelah banyak filemnya kecundang di pawagam.
Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Rasfan Abu Bakar adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
