Bluesky dilancarkan pada tahun 2019, ia merupakan sebuah platform media sosial yang hanya boleh disertai melalui jemputan, mengikuti jejak langkah aplikasi seperti Clubhouse sebelumnya. Bluesky kemudiannya membuka pintu mereka kepada orang ramai untuk menyertainya pada bulan Februari 2024.
Kebelakangan ini, Bluesky telah menerima ramai pengguna baru, khususnya dari X/Twitter kerana banyak kemaskini baru yang diperkenalkan pada platform tersebut tidak disenangi orang ramai, khususnya apabila ciri block telah ditukar dimana pengguna yang sepatutnya dihalang daripada membaca ciapan kini boleh membacanya, walaupun tidak lagi boleh berinteraksi.
Dengan ini, pihak Bluesky telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sehingga kini, (Oktober 2024) seramai 13 juta pengguna telah menyertai platform media sosial baru ini, dan mengatakan bahawa mereka telah menerima pelaburan Siri A sebanyak $15 juta daripada syarikat pelaburan seperti Blockchain Capital, Alumni Ventures, True Ventures, SevenX dan sebagainya.

Sehingga kini, Bluesky telah memperkenalkan sejumlah penambahbaikan pada platform mereka, seperti sokongan untuk video, GIF, ciri permesejan peribadi dan kebolehan untuk menambah penyenaraian dinamik pada platform tersebut supaya anda boleh mengikuti ataupun menyekat pengguna secara proaktif dan mudah.
Selain daripada itu, Bluesky juga mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses membangunkan model langganan yang akan memberi pengguna kebolehan untuk memuat-naik video dengan kualiti yang lebih tinggi, pengubahsuaian profil yang lebih mendalam dan sebagainya. Butiran mengenai model langganan seperti tanda harga tidak diketahui lagi, tetapi dijangka akan diumumkan apabila ia sedia untuk diperkenalkan.
Dalam pada itu, Bluesky juga mahu membolehkan pencipta kandungan di platform tersebut untuk menjana wang, dan juga sedang membangunkan sebuah proses untuk memudahkan perkara itu berlaku. Walaupun begitu, tidak seperti Twitter, capaian hantaran daripada pengguna tidak akan dihadkan, dan semua balasan kepada hantaran boleh dibaca dan dibalas tanpa halangan.
Untuk para pembangun yang mahu mengintegrasikan kandungan platform tersebut kepada platform lain sedia ada, pihak Bluesky juga mengatakan bahawa mereka tidak akan menyekat penggunaan API mereka untuk dibangunkan, tidak seperti platform-platform lain yang mengunci akses kepada teknologi tersebut.
