BMI unjur OPR kekal pada 3% hingga akhir 2024 berikutan inflasi berkurang, pertumbuhan ekonomi perlahan
diyana
14/09/2023 - 16:08
KUALA LUMPUR 14 Sept - BMI mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% hingga akhir 2024 memandangkan inflasi negara terus berkurangan dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Syarikat Fitch Solutions itu berkata inflasi negara berada dalam trajektori menurun, dengan inflasi utama berkurang tahun ke tahun (y-o-y) kepada 2% pada Julai 2023, daripada 2.8% pada Mei 2023.
“Latar belakang inflasi yang bertambah baik itu membayangkan bahawa kadar dasar sebenar Malaysia kini berada dalam paras positif, yang sejak 2006 secara lazimnya telah menepati dengan penghujung kitaran pengetatan.
“Oleh itu, kami percaya bahawa pendirian dasar ketika ini adalah mencukupi untuk mengawal inflasi dan bank pusat akan kekal bertahan buat masa ini,” kata BMI.
Susulan penurunan harga lebih pantas daripada jangkaan, BMI telah menurunkan unjuran inflasinya kepada 1.8% daripada 2% sebelumnya bagi akhir tahun 2023.
Sehubungan itu, firma itu menyemak turun ramalan inflasi kepada purata 2.6% pada 2023 berbanding 2.7% sebelumnya, yang menandakan kelembapan ketara daripada 3.4% tahun lalu.
Di samping itu, BMI menjangkakan BNM akan berhati-hati melonggarkan dasar monetari terlalu awal memandangkan nilai mata wang ringgit telah melemah sebanyak 5.9% berbanding dolar AS tahun ini, meletakkannya sebagai salah satu mata wang paling lemah di rantau ini.
“Pulangan pantas kepada kelonggaran monetari oleh itu akan menyebabkan risiko tekanan menurun yang lebih buruk terhadap ringgit, ketika keadaan monetari global kekal terhad,” katanya.
Bagaimanapun, BMI juga menjangkakan BNM akan meningkatkan OPR, jika ringgit berdepan tekanan susut nilai selanjutnya bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding AS.
BMI juga berkata terdapat keperluan yang kurang teruk bagi BNM untuk mengurangkan kadar terlalu awal kerana kenaikan terkumpul 125 mata asas (bps) bank pusat adalah agak sederhana berbanding dengan rakan serantau.
“Walaupun kami menjangkakan pertumbuhan meningkat pada separuh kedua 2023, unjuran lazim kami untuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia sebanyak 4% pada 2023 berada di bawah sasaran 4% hingga 5% bank pusat itu dan kurang daripada purata pra-pandemik (2015-2019) sebanyak 4.9%,” katanya.
Firma itu menyatakan bahawa jangkaan pemulihan BNM yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam kemerosotan sektor elektrik dan elektronik (E&E) akan memberi petanda baik kepada ekonomi.
"Jika berterusan, lantunan semula dalam ekonomi berorientasikan eksport Malaysia akan mengurangkan tekanan untuk bank pusat mengurangkan kadar," katanya. - DagangNews.com


