BMI unjur perbelanjaan pengguna Malaysia kekal stabil pada 2024

Business & Finance
11 Oct 2023 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BMI unjur perbelanjaan pengguna Malaysia kekal stabil pada 2024

diyana

11/10/2023 - 11:06

KUALA LUMPUR 11 Okt - Perbelanjaan pengguna sepanjang 2024 di Malaysia akan kekal stabil, menurut BMI yang positif namun berhati-hati terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia sepanjang 2024.

Ini memandangkan pemulihan ekonomi memberi kesan kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna sebenar yang kukuh sepanjang tahun, kata unit Fitch Solutions itu.

BMI berkata pertumbuhan perbelanjaan isi rumah akan menjadi lebih positif, berbanding 2023, berikutan pertumbuhan ekonomi berterusan dan tahap penggunaan kembali normal.

“Kami meramalkan perbelanjaan isi rumah meningkat 5% tahun ke tahun (yoy) sepanjang 2024, secara sebenar, kepada nilai RM909.5 bilion [harga pada 2010].

“Perbelanjaan isi rumah sepanjang 2024 akan menandakan kembalinya tahap pertumbuhan pra-Covid (perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar purata sebenar 5.2% dalam tempoh 2015-2019). Perbelanjaan akan dikekang oleh persekitaran paras hutang yang tinggi dan kos perkhidmatannya," katanya dalam satu laporan.

Bagaimanapun, BMI menyatakan bahawa pengurangan inflasi dan pasaran buruh teguh akan menyokong perbelanjaan kerana pertumbuhan gaji benar kembali ke paras positif, menyokong kuasa membeli sepanjang tahun.

Sementara itu, BMI berkata tahap keyakinan pengguna sebahagian besarnya menurun, mencerminkan sentimen pengguna yang semakin lemah memandangkan tekanan inflasi dalam komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api terus membebani isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut BMI, data terkini mendedahkan bahawa keyakinan pengguna pada suku kedua 2023 berpurata pada 90.8, jatuh daripada 99.2 pada suku pertama 2023 dan angka keyakinan pengguna terendah sejak suku kedua 2022.

“Data jualan runcit terkini juga semakin perlahan sejak Jun 2022, mencapai kadar 5.5% tahun ke tahun pada Julai 2023 (data terkini tersedia). Angka ini, terendah sejak Disember 2021, menekankan trend penurunan berterusan jualan runcit.

“Kemerosotan itu berkemungkinan disebabkan oleh kemerosotan pertumbuhan kesan asas dan permintaan terpendam berikutan penamatan kekangan COVID,” katanya.

Mengulas mengenai prospek pekerjaan, BMI berkata data terkini menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia (sebagai peratusan tenaga buruh) pada 3.4% pada Julai 2023, paras terendah sejak Februari 2020 yang menyokong prospek positif firma itu terhadap pengguna.

“Pasukan Risiko Negara kami meramalkan pengangguran pada purata 3.1% daripada tenaga buruh sepanjang 2024, serupa dengan 2023. Ini didorong oleh pelaburan asing yang kukuh, meningkatkan prestasi sektor pelancongan, dan peningkatan aktiviti dalam sektor utama perniagaan tani, elektronik dan pembuatan.

"Bagaimanapun, sekiranya keadaan ekonomi bertambah buruk dalam pasaran, terdapat risiko tinggi pengangguran, yang akan menyebabkan prospek pengguna lebih lemah," katanya. - DagangNews.com