Nampaknya dengan tahun ini berbaki kurang dari 6 bulan kita akan melihat lebih banyak pelancaran kereta elektrik untuk pasaran tempatan. Hari ini BMW Malaysia mengumumkan model baharu dalam siri kereta elektrik iX mereka iaitu BMW iX xDrive60 M Sport Pro dan juga BMW iX xDrive45 Sport, iaitu kereta elektrik dalam kelas SUV yang menggunakan pacuan elektrik hadapan dan belakang.


Sebagai model iX, kedua-dua kereta elektrik ini akan membawakan pelbagai pembaharuan dari segi spesifikasi, prestasi dan juga kemasan. Kedua-dua model ini membawakan bateri yang lebih besar, rekaan baharu yang dikemaskini untuk luaran antaranya gril buah pinggang (kidney grille) yang ikonik dari BMW kini akan bercahaya sewaktu pintu dibuka dan ditutup. Dari segi luaran juga ia dibezakan dengan iX xDrive60 mempunyai rim bersaiz 22-inci manakala iX xDrive45 mempunyai rim bersaiz 21 inci. Bagi ruangan dalaman pula kedua-dua model ini dilengkapi dengan bumbung lutcahaya, 18 pembesar suara Harman Kardon, ruang storan 500 liter yang boleh diluaskan menjadi 1,750 liter, dan banyak lagi.


Untuk spesifikasi dan prestasi, BMW iX xDrive45 Sport mampu memberikan kuasa setinggi 300 kW (408 hp) dan 700 Nm tork, membolehkan ia dipecut 0-100 km/j sepantas 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Dengan bateri sebesar 100.6 kWh, ia mempunyai jarak perjalanan sejauh 602 KM WLTP serta menyokong pengecasan pantas DC 175 kW. BMW iX xDrive60 M Sport Pro pula mempunyai kuasa yang lebih tinggi, iaitu 400 kW ( 544 hp) dan 765 Nm tork, membolehkan ia dipecut 0-100 km/j sepantas 4.6 saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Ia mempunyai bateri yang lebih besar iaitu 111.5 kWh memberikan jarak perjalanan sehingga 701 KM WLTP dan mempunyai pengecasan pantas DC 195 kW dan pengecasan AC 22 kW.


Kereta elektrik BMW iX xDrive45 Sport ditawarkan pada harga RM RM 425,800 manakala BMW iX xDrive60 M Sport Pro ditawarkan pada harga RM 487,800. Ia turut hadir bersama jaminan pengeluar selama 6 tahun tanpa had perbatuan, termasuklah perkhidmatan penyelenggaraan serta jaminan bateri selama 8 tahun. Ini juga termasuk perkhidmatan BMW Roadside Assistance yang menawarkan bantuan tepi jalan, tunda, kereta pinjaman serta penginapan hotel sewaktu kecemasan.

Dengan hadirnya kereta elektrik BMW iX versi baharu ini, ia juga membuka minat kepada bakal pembeli kereta elektrik yang inginkan jarak perjalanan yang lebih jauh, memandangkan tidak banyak lagi kereta elektrik di pasaran yang menawarkan jarak perjalanan menjangkau 700KM WLTP.
