BMW M4 Competition M xDrive LCI 2025 Rasmi Di Malaysia – Dari RM878,800

LocalCars
13 Jun 2025 • 11:45 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Pameran MY BMW World 2025 yang kini sedang berlangsung menyaksikan kemunculan model BMW M terbaru, iaitu versi facelift bagi BMW M4 Competition M xDrive (G82). Model coupe berprestasi tinggi ini ditawarkan pada harga RM878,800 atas jalan tanpa insurans, atau RM930,900 dengan pakej waranti dan servis BMW Service & Repair Inclusive (BSRI).

Walaupun telah dilancarkan tanpa sebarang hebahan pada Ogos 2024, ini adalah kali pertama M4 LCI (Life Cycle Impulse, gelaran BMW untuk versi facelift) dipertontonkan secara rasmi. Harga model 2025 ini lebih tinggi berbanding harga asal yang dijual pada RM870,800.

Prestasi Enjin dan Pengendalian Mantap

image is not availableimage is not available

Dari segi kuasa, M4 facelift masih menggunakan enjin S58 3.0 liter turbo enam silinder sebaris yang kini menghasilkan 530 hp dan tork 630 Nm. Kuasa ini membolehkan coupe M ini membuat pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat dan dari 0 hingga 200 km/j dalam 11.8 saat.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive dan differential M Sport. Sistem suspensi adaptif M, pakej M Drive Professional dan komponen prestasi M lain turut membantu memastikan pengendalian jentera lebih ‘tajam’ dan responsif.

Sarat Sentuhan Sporty M

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

M4 Competition xDrive dilengkapi dengan pakej M Lights Shadowline dan M High-Gloss Shadowline, selain bumbung gentian karbon. Rim aloi tempaan M 19 inci di depan dan 20 inci di belakang dengan rekaan jejari double-spoke 826 M berwarna hitam melengkapkan gaya agresif, manakala brek M Compound berwarna merah berkilat tersembunyi di sebalik rim.

image is not availableimage is not available

Model facelift ini hadir dengan beberapa perubahan rekaan, antaranya lampu depan LED baharu dengan lampu siang berganda (dual DRL), lampu belakang jenis LED laser sebagai pilihan tambahan terbaru, serta decal unik pada bonet hadapan yang hadir dalam warna hitam atau merah.

Kabin Sporty dan Teknologi Moden

image is not availableimage is not available

Masuk ke dalam kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk semi-bucket M Sport berbalut kulit berwarna biru dan kuning yang mencuri perhatian. Warna berani ini dipadankan dengan kemasan gentian karbon M, stereng kulit M dengan paddle shifter, bumbung anthracite M, tali pinggang keledar M dan elemen kawalan dengan kemasan galvanik.

image is not availableimage is not available

Dari segi teknologi, M4 terbaru ini hadir dengan BMW Curved Display yang terdiri daripada skrin infotainmen bersaiz 14.9 inci yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5, serta kluster meter digital 12.3 inci dengan grafik khas M. Sistem Connected Package Professional menyokong sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay. Tambahan lain termasuk kawalan iklim dua zon, pencahayaan ambien pelbagai warna, pengecas tanpa wayar dan banyak lagi.

image is not available