BN Akan Pertahankan Pelangai

Politics
24 Aug 2023 • 7:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zahid umum BN bertanding di PRK Pelangai. - gambar fail

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung awal Oktober nanti.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, BN mahu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di ketiga-tiga PRK, termasuk dua di Johor iaitu Pulai dan Simpang Jeram.

"Kita berazam menangkan calon kita di Pulai, Simpang Jeram, Pelangai dan paling penting calon BN di Pelangai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Sayap Pergerakan Wanita UMNO dalam pertemuan solidariti bersama presiden yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

BN akan bertanding di kerusi itu mewakili Kerajaan Perpaduan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas udara di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) di Bandar Elmina 17 Ogos lalu.

Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata, kerusi itu akan dipertahankan oleh BN setelah melalui perbincangan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kerusi itu, kita (BN) adalah penyandang atau incumbent.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan berhormat Menteri Besar Pahang dan tentunya kita juga mengharapkan semua parti komponen bawah Kerajaan Perpaduan untuk bersama sama.

"Esok saya akan ke Pulai dan Simpang Jeram untuk mengetuai jentera BN bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai dan juga untuk DUN Simpang Jeram," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 7 Oktober sebagai tarikh hari mengundi bagi DUN Pelangai manakala bagi penamaan calon dan tarikh mengundi awal masing-masing jatuh pada 23 September dan 3 Oktober.

Johari menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (Pakatan Harapan) dan Isa Ahmad (PEJUANG) dengan majoriti 4,048 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lepas. – Getaran, 24 Ogos 2023