
BARISAN Nasional (BN) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan bahawa kedua-dua pihak komited untuk menegakkan perpaduan dan pemimpin, ahli atau penyokong kedua-dua gabungan itu harus bertenang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati.
Ketua Penerangan BN Sabah Datuk Raime Unggi berkata ia akan menerima setiap keputusan yang diambil oleh kepimpinan pusatnya, dan pada masa sama meneruskan pendekatan muafakat dengan gabungan sedia ada.
Raime berkata kedua-dua Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah bersuara dan adalah lebih baik untuk menunggu sebarang perkembangan di Kuala Lumpur sebelum membuat sebarang keputusan.
Bung mengkritik kenyataan dibuat Hajiji sebelum ini yang menunjukkan sokongan kepada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas PRU15.
Sambil menyifatkan seolah-olah beliau (Hajiji) mengisytiharkan perang terhadap BN Sabah, kenyataan Bung itu kemudiannya disangkal oleh Hajiji dengan mengatakan eliau tidak bermaksud sedemikian, sebaliknya mendakwa perjanjian yang dibuat menjadi batal dan tidak sah sejak BN kalah pada PRU15.
Hajiji bagaimanapun berharap BN Sabah akan terus bekerjasama dengan GRS untuk mentadbir Sabah dalam mengekalkan momentum pentadbiran kerajaan pimpinan bersama.
“Bagi kami dalam BN Sabah, kami akan menerima setiap keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan pusat tetapi, pada masa sama, kami juga akan mengambil pendekatan meneruskan permuafakatan dengan gabungan sedia ada.
“Bagi siapa sokong siapa, biarlah peringkat atasan yang membuat keputusan,” katanya.
Raime turut bersetuju dengan Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai yang meminta semua pihak bertenang dan lebih fokus kepada kebajikan rakyat Sabah.
“Memang keadaan di Kuala Lumpur agak ‘panas’ yang turut melibatkan beberapa pemimpin kita yang memenangi kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
“Tetapi saya yakin dan percaya, dengan konsensus yang kita ada sekarang, kita boleh mengelak sebarang konflik yang mana mungkin ada pihak yang berharap untuk mengatakan bahawa gabungan pemerintah di Sabah sedang bergaduh.
“Jadi sebagai semangat silaturrahim, saya harap jika ada sebarang kenyataan dirujuk kepada kedua-dua pihak terlebih dahulu kerana senario sekarang memaksa kita berdiam diri dahulu sebelum berkata apa-apa,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

