KEPUTUSAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan pihaknya bakal bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat isyarat jelas bahawa parti itu mahu terus menjadi kuasa dominan politik negeri berkenaan.
Pendirian tersebut bukan sekadar pengumuman politik biasa, sebaliknya menggambarkan keyakinan tinggi BN terhadap kekuatan jentera akar umbi serta penerimaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Hakikat bahawa keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, akar umbi, kepimpinan UMNO dan BN Johor turut menunjukkan parti itu mahu memperkukuh naratif masih relevan serta dekat dengan denyut nadi pengundi.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN mencatat kemenangan besar apabila memenangi 40 dari 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan satu lagi dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Keputusan itu memberikan majoriti selesa kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri dengan lebih stabil selepas tempoh ketidaktentuan politik yang melanda negara pada tempoh tersebut.
Kemenangan besar tersebut turut dikaitkan dengan faktor keletihan rakyat terhadap konflik politik berpanjangan.
BN pula ketika itu membawa imej kestabilan pentadbiran.
Namun begitu, situasi politik menjelang PRN akan datang diramal lebih mencabar berbanding 2022.
Ini kerana landskap politik semasa telah berubah susulan kerjasama antara BN dan PH di peringkat Persekutuan.
Di Johor, sinergi sedemikian mungkin menjadi kelebihan kerana mampu menggabungkan kekuatan dua blok besar politik.
Bagaimanapun, dalam masa sama ia berpotensi menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan sebahagian penyokong tradisional kedua-dua parti.
Dalam konteks itu, pengumuman BN mahu bertanding di semua 56 kerusi boleh ditafsir sebagai usaha mengekalkan identiti dan kekuatan parti tanpa terlalu bergantung kepada kompromi politik.
BN Johor dilihat mahu memastikan pengaruhnya tidak terhakis walaupun berada dalam landskap politik baharu yang memerlukan kerjasama antara parti.
Pada masa sama, cabaran terbesar BN bukan sekadar mengekalkan kemenangan lalu, tetapi memastikan momentum sokongan rakyat terus kekal.
Hal ini kerana isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan belia dan perumahan dijangka menjadi antara penilaian utama pengundi, khususnya generasi muda.
Apa yang pasti, kenyataan Onn Hafiz memberi bayangan bahawa BN Johor tidak mahu mengambil pendekatan defensif.
Sebaliknya, parti itu sudah mula menyusun langkah awal untuk mempertahankan dominasi dan memastikan Johor terus kekal sebagai kubu kuat BN dalam politik nasional.





