
BN kekal sokong Anwar namun beri peluang tawan Negeri Sembilan
FATIN NORIZATI MAT ISA
norizati.isa@mediamulia.com.my
KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran.
Namun, pada masa sama, pengundi di Negeri Sembilan diseru memberikan mandat kepada BN untuk mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertukaran kerajaan negeri tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan Persekutuan kerana BN kekal komited menyokong kepimpinan Anwar seperti yang dipersetujui menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak mahu tebuk atap. Kita tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
“Tetapi untuk Negeri Sembilan, berilah peluang kepada BN bentuk kerajaan negeri supaya kita dapat mentadbir dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi Madani di Dataran Melang, Kuala Pilah, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, keyakinan itu didorong oleh momentum kemenangan besar BN pada PRN Johor yang disifatkan sebagai permulaan ‘gelombang biru’ dan berharap ia dapat diteruskan di Negeri Sembilan serta negeri-negeri lain.
Katanya, rakyat perlu menilai semula prestasi pentadbiran kerajaan negeri kerana kadar pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan masih berada di bawah purata nasional.
Katanya, ekonomi negara kini berkembang pada kadar 5.6 peratus, manakala Negeri Sembilan hanya mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding Johor yang merekodkan pertumbuhan sekitar lapan peratus.
“Ini menunjukkan Negeri Sembilan masih berada di bawah purata negara. Kita mahu melihat negeri ini berkembang dengan lebih pesat dan mampu bersaing dengan negeri-negeri lain.
“Negeri Sembilan pernah mencatatkan prestasi pembangunan yang lebih baik ketika ditadbir BN dan yakin pencapaian itu mampu diulangi sekiranya gabungan berkenaan diberi mandat untuk mentadbir semula,” katanya. – UTUSAN
The post BN kekal sokong Anwar namun beri peluang tawan Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






