BN-PH Pahang Tubuh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, Ikrar Selesai Isu Rakyat

Politics
27 Jan 2023 • 2:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wan Rosdy Wan Ismail (dua, kiri) dan Amirudin Shari (dua, kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang hari ini - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR – Jalinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang, dianggap memasuki ‘fasa baharu’ menerusi penubuhan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan Negeri. 

Menerusi kenyataan bersama Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari, penubuhan itu menjadi platform perbincangan dan rundingan dasar ke arah menyelesaikan isu rakyat.

Katanya, ia juga dapat menjamin keutuhan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan sepanjang tempoh pemerintahannya.

“Malam tadi, pimpinan BN dan PH Pahang mengadakan pertemuan serta perbincangan, bagi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini dengan keterlibatan kedua-dua parti.

“Pertemuan bersejarah ini menyaksikan penubuhan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang yang akan dipengerusikan secara bersama Wan Rosdy dan Amirudin,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan terbabit memaklumkan, kedua-dua parti turut bersetuju mengadakan pertemuan secara berkala.

“Pertemuan berkala ini bagi membincangkan gerak kerja secara bersama agar ia selari dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Semangat musyawarah ini diharapkan dapat mengetepikan perbezaan politik dan memfokuskan segala usaha, demi kebaikan rakyat Pahang,” katanya. - Getaran, 27 Januari 2023