BN rampas semula DUN Nenggiri dengan majoriti besar

17 Aug 2024 • 9:29 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi itu, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti 3,372 undi apabila memperoleh 9,113 undi manakala lawannya Mohd Rizwadi Ismail daripada PAS yang mewakili Perikatan Nasional meraih 5,741 undi.

“BN dahulu kalah dengan majoriti 810 undi… kali ini BN menang dengan majoriti besar 3,372 undi,” katanya menerusi perkongsian video yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau malam ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi, yang mewakili Kerajaan Perpaduan, dan Mohd Rizwadi.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pilihan Raya Negeri Kelantan ke-15 pada Ogos tahun lepas menyaksikan Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved