
PAPAR: Barisan Nasional (BN) Sabah membidas pihak tertentu yang memainkan isu parti tempatan sebagai propaganda untuk mengelirukan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, menuduh BN Sabah atau Umno bukan parti tempatan dan tidak didominasi rakyat tempatan adalah tidak berasas sama sekali kerana tidak ada orang luar menjadi pemimpin dalam gabungan itu di negeri itu.
Beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengelirukan rakyat dengan membuat tuduhan bukan isu, walaupun mengetahui BN dan Umno di Sabah telah diberi kuasa autonomi dalam menentukan keputusan berkaitan Sabah.
