BN Sabah, Umno tarik sokongan terhadap Hajiji

Politics
7 Jan 2023 • 11:40 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah malam tadi mengumumkan menarik sokongan terhadap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN negeri berkata pendirian yang diputuskan dalam mesyuarat parti di sini malam tadi, dibuat kerana hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, bagaimanapun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan, menurut laporan Bernama.

“Persefahaman politik itu antara lain menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN/Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai Ketua Menteri selagi pelantikan Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN/Umno seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

“Hari ini Ketua Menteri mengeluarkan surat penamatan kepada Salleh selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut kita mengenai rombakan Kabinet tanpa berbincang dengan kita.

“Jadi kami sebulat suara membawa Umno dan BN Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dan sokongan terhadap Hajiji.

Bung Mokhtar menambah, mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, ketua menteri harus dipilih daripada sebuah parti yang (ada sokongan) majoriti. Dia (Hajiji) tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS ini adalah ‘grand coalition’ parti,” katanya.

Berita Harian melaporkan Bung Moktar sebagai mendakwa pihaknya bertindak selepas melihat Perlembagaan Negeri dan mengambil tindakan balas apabila Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Mengenai sama ada BN dan Umno akan membentuk kerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (Warisan) untuk membentuk kerajaan baharu, Bung Moktar berkata perkara itu belum dipastikan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ketika ini Umno Sabah mempunyai 18 Adun termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang baru menyertai parti itu.

Bagaimanapun, katanya lima Adun Umno tidak menyokong keputusan dibuat pihaknya dan bakal berdepan tindakan.

Berikutan tindakan Adun Umno itu, kerajaan negeri pimpinan Hajiji masih mempunyai 42 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi Adun Dilantik.

Bung Moktar turut mendakwa Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah apabila beliau mengisytiharkan keluar daripada Bersatu iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini juga, Hajiji hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

“Justeru, bersesuaian dengan kehendak Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, BN / Umno akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.