BN Sasar Tawan 4 Parlimen Terengganu, Tumpu Kerusi ‘Pengkhianat’

Politics
11 Nov 2022 • 12:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
BN Terengganu mensasarkan untuk menawan sekurang-kurangnya 4 kerusi Parlimen di negeri berkenaan pada PRU-15 ini. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA TERENGGANU - Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin mampu merampas semula dua kerusi Parlimen di negeri tersebut, iaitu Setiu dan Kemaman yang kini disandang PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, BN Terengganu mensasarkan sekurang-kurangnya menawan empat kerusi Parlimen di negeri berkenaan, iaitu Besut dan Hulu Terengganu, termasuk dua yang disandang PAS.

Menurutnya, kerusi Parlimen Hulu Terengganu adalah milik BN pada PRU-14, namun penyandangnya, Datuk Rosol Wahid menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ketika itu membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH).

image is not available
Ahmad Said

“BN mensasarkan sekurang-kurangnya menawan empat kerusi Parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman pada PRU kali ini, InsyaAllah.

“Kita juga akan memberi tumpuan lebih di Parlimen Hulu Terengganu memandangkan kawasan tersebut sebenarnya adalah ‘kubu’ kuat BN Terengganu, namun penyandangkan membawa ‘lari’ kerusi tersebut pada PRU-14,” katanya kepada Getaran hari ini.

image is not available
Ahmad Said yakin peluang BN sangat besar untuk menewaskan PAS pada PRU kali ini. - Gambar oleh Sairien Nafis

Mantan Menteri Besar Terengganu itu menzahirkan keyakinan bahawa BN negeri berkenaan dapat merampas semula kerusi Parlimen Kemaman, selepas bertukar tangan kepada PAS pada pilihan raya lalu.

Beliau dinamakan sebagai calon mewakili BN di Parlimen Kemaman menggantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sebelum ini tewas kepada PAS dengan majoriti 2,163.

“Saya yakin BN dapat merampas semula (Parlimen) Kemaman memandangkan ini adalah kampung halaman saya dan saya sudah berkhidmat di sini sejak 20 tahun lalu.

“Jadi orang Kemaman memang sudah mengenali saya, InsyaAllah peluang BN sangat besar untuk PRU kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Shabery mengekalkan penguasaan BN di Parlimen Kemaman sejak tiga penggal, bermula 2004, namun tumpas setelah berlaku tsunami politik pada 2018, menyaksikan rakyat Malaysia menolak BN di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Getaran, 11 November 2022