
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan senarai nama calon untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Sabah yang akan dibentuk.
Perkara itu disahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, kerajaan negeri telah meminta semua parti yang menyokong untuk mengemukakan senarai calon masing-masing bagi pertimbangan pelantikan.
“Untuk PRN Sabah, pembentukan kerajaan akan dilakukan secepat mungkin.
“Kita menghargai kerjasama semua pihak termasuk di luar GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang berjalan dengan baik. Malah, saya sendiri telah menghubungi Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Hajiji Noor, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan kestabilan politik di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas taklimat ringkas berhubung bencana banjir di Bagan Datuk, Perak hari ini.
Mengulas mengenai prestasi BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kestabilan politik di negeri itu agar pembangunan dapat diteruskan.
Beliau berkata antara fokus utama ialah pelaksanaan projek berkaitan bekalan elektrik, air serta pembangunan infrastruktur jalan raya.
“Apa yang penting adalah kesejahteraan rakyat dan aspirasi Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Selepas PRN Sabah ke-17, Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan kesediaan BN untuk bekerjasama dengan mana-mana parti sehaluan bagi membentuk kerajaan baharu demi memastikan kestabilan politik di negeri itu. - Getaran, 1 Disember 2025
