BNM : Bank Utama Akan Mengecualikan Yuran Transaksi Ke Atas Perniagaan Mikro Dan Kecil Untuk DuitNow QR

TechnologyDigital
29 Sep 2023 • 11:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bank Negara Malaysia hari ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan DuitNow QR, sekaligus mengesahkan yuran transaksi akan diimplementasikan untuk DuitNow QR bermula 1 Oktober 2023. Ini adalah susulan daripada pengecualian yuran untuk tempoh terhad yang diperkenalkan sejak 2019.

BNM menjelaskan yuran transaksi ini adalah bertujuan untuk menampung kos menyenggara sistem pembayaran, termasuk sokongan keselamatan siber, dan beberapa perkara berkaitan lain. Seperti dimaklumkan sebelum ini, beberapa perkhidmatan pembayaran digital sedia mengenakan caj transaksi kepada penjual, termasuk untuk pembayaran kad debit dan kredit.

image is not available

BNM turut menekankan yang mana pengguna individu tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan apabila menggunakan DuitNow QR. Sebaliknya, untuk perniagaan, yuran transaksi DuitNow QR akan kekal rendah sama seperti untuk yuran pembayaran kad debit – atau lebih rendah daripadanya.

Pada masa yang sama, BNM turut mengatakan bank-bank utama dan juga penyedia perkhidmatan kewangan yang menguruskan 75% perniagaan yang menerima pembayaran secara DuitNow QR telah menyatakan akan mengecualikan yuran transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

Mengikut definisi KPDN, perusahaan mikro adalah dengan jualan tahunan di bawah RM300,000 atau kurang 5 pekerja, sementara perusahaan kecil adalah dengan jualan bawah RM15 juta atau kurang 75 orang pekerja.

Setakat ini, BNM tidak menyatakan bank-bank tersebut. Secara rasminya, Maybank dan Public Bank telah menyatakan tidak akan mengenakan caj transaksi berkenaan. Mungkin kita akan mendengar sokongan serupa oleh beberapa penyedia lain tidak lama lagi.