
BNM Buat Kejutan, Kekalkan Kadar OPR
Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) pada hari ini telah membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR), pada 2.75 peratus.
Berdasarkan kenyataan daripada BNM, ekonomi global terus terjejas ekoran tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.
“Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara,” tulis kenyataan itu lagi.
Data terkini bagi negara Malaysia menunjukkan paras ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun 2022. Pertumbuhan 2022 dijangka akan melebihi unjuran awal, iaitu 6.5% hingga 7.0%.
Namun begitu, pertumbuhan pada tahun 2023 dijangka sederhana berikutan pertumbuhan ekonomi global perlahan berbanding pada 2022. Risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.
“Inflasi keseluruhan pada tempoh bulan Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4%. Seperti yang diunjurkan, inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022, manakala purata inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, adalah sebanyak 2.9% hingga bulan November 2022.
“Bagi keseluruhan tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan,” tulis kenyataan itu lagi.
Selain itu, imbangan risiko terhadap prospek infalsi juga cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi. Ia dikatakan kekal bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global.
Menurut BNM lagi, keputusan untuk menetapkan OPR pada hari ini adalah bertujuan untuk MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela maa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.
Pada tahap kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” menurut kenyataan BNM lagi.
MPC juga akan terus untuk menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.
Sumber: Bank Negara Malaysia
The post BNM Buat Kejutan, Kekalkan Kadar OPR appeared first on Siakap Keli.

