BNM diyakini kekalkan OPR pada 3% dalam mesyuarat MPC 11 Julai ini - Standard Chartered
herman
09/07/2024 - 12:47
KUALA LUMPUR 9 Julai - Standard Charterd Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 3% semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 11 Julai 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, pihaknya juga akan memantau sebarang penyesuaian pada unjuran inflasi BNM berikutan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini yang dilaksanakan pada 10 Jun 2024.
"Anggaran awal kami kesannya adalah sederhana sebanyak 0.1% mata pada inflasi berdasarkan sasaran pemotongan subsidi tersebut.
"Walau bagaimanapun, kami akan mengawasi kesan sampingan, terutamanya dengan kemungkinan penyasaran subsidi selanjutnya seiring pemulihan pertumbuhan Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas Standard Chartered Research, pada Mei, BNM menyatakan inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana yang secara umumnya mencerminkan keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.
"Oleh itu, kami akan mengawasi sebarang penyesuaian yang menunjukkan peningkatan tekanan kos secara meluas yang boleh meningkatkan risiko kenaikan kadar oleh BNM menjelang akhir tahun 2024.
"Selain itu, kami akan memantau perubahan dalam penilaian BNM terhadap Ringgit. Pada bulan Mei, BNM mencatatkan bahawa Ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
"Kami melihat ini sebagai peningkatan pandangan bank pusat berbanding dengan kenyataan pada Mac, di mana ia menyatakan bahawa "Ringgit pada masa ini adalah di Bawah nilai, mengambil kira asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia"," jelasnya. - DagangNews.com

