sarah05/11/2026 - 14:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%, dengan ekonomi negara dijangka berkembang melebihi 5% tahun ini, disokong prestasi eksport yang kukuh dan permintaan domestik yang berterusan.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam kenyataan hari ini berkata, petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh pada suku ketiga 2026, manakala asas ekonomi yang stabil dijangka menyokong daya tahan pertumbuhan pada 2027.
Menurut BNM, sektor luaran dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun depan, disokong peningkatan permintaan teknologi global dan perbelanjaan pelancong, selain keadaan pasaran buruh yang stabil serta aktiviti pelaburan berterusan.
“Langkah di bawah Belanjawan 2027 juga akan memberikan sokongan tambahan kepada penggunaan swasta,” menurut kenyataan itu, sambil menjelaskan prospek pertumbuhan masih berdepan risiko akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
Dari segi harga pengguna, BNM memaklumkan purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.8% dan 1.9% bagi tempoh tahun ini sehingga kini.
Bagaimanapun, kedua-dua kadar inflasi dijangka meningkat sedikit pada 2027 berikutan perkembangan geopolitik, harga komoditi global yang tinggi dan keadaan cuaca buruk, namun tekanan harga dijangka kekal terkawal dengan sokongan dasar domestik serta permintaan yang stabil.
Di peringkat global, pertumbuhan ekonomi terus menunjukkan daya tahan hasil pelaburan teknologi yang kukuh dan pasaran buruh stabil, meskipun kenaikan kos tenaga, ketegangan geopolitik serta keadaan kewangan antarabangsa yang lebih ketat berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan.
BNM berkata, paras OPR semasa kekal bersesuaian untuk menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi mampan, manakala MPC akan terus memantau tekanan kos, permintaan domestik serta perubahan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan negara. - DagangNews.com
