
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
Bank pusat berkata, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan,
disokong oleh pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, inflasi menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini namun dijangka kekal tinggi berikutan kesan tertunda pindahan kos tenaga kepada harga pengguna.
Pada masa hadapan, bank pusat berkata, meskipun ketidaktentuan berhubung dengan konflik di Asia Barat terus mempengaruhi pertumbuhan global berikutan tekanan inflasi yang berterusan, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan.
“Risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
“Potensi pertumbuhan menjadi tinggi termasuk perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan dan langkah-langkah
dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” ujarnya. – UTUSAN
The post BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






