

BNM MAG Melancarkan Aplikasi Mudah Alih ‘MAG In Your Pocket’
Kuala Lumpur, Malaysia, 31 Ogos 2024 – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) sukacita ingin memperkenalkan aplikasi mudah alih ‘MAG In Your Pocket’, sebuah aplikasi digital yang kini boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play Store.
Aplikasi inovatif yang dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ini menyasarkan untuk mempertingkatkan pengalaman pengunjung semasa melawat muzium dengan menawarkan gabungan pembelajaran yang interaktif dengan capalan yang mudah – semuanya daripada peranti mudah alih mereka.
Menurut Noreen Zulkepli, Pengarah BNM MAG, “Aplikasi mudah alih ‘MAG In Your Pocket’ ini bukan sekadar alat digital. Aplikasi ini mencerminkan usaha mengorak langkah besar dalam menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan menarik. Aplikasi ini memberikan pengalaman muzium yang lebih dekat di hati semua pengunjung, di mana sahaja mereka berada, menjadikannya lebih inklusif dan menghasilkan impak yang lebih besar berbanding sebelum ini.”
Tersedia dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, ‘MAG In Your Pocket’ merupakan kaedah baharu pembelajaran secara mudah alih yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai kandungan pembelajaran yang menyeronokkan serta memuat turn bahan pembelajaran mengikut masa lapang sendiri.
Sama ada di rumah atau di muzium, pengunjung kini boleh melakukan lawatan kendiri serta memperkaya lawatan mereka melalui ciri-ciri interaktif aplikasi ini.
Beberapa ciri interaktif aplikasi ini termasuk realiti terimbuh (augmented reality, AR) yang menghidupkan pameran dan artifak, permainan dalam aplikasi yang menambah elemen keseronokan serta lawatan audio berpandu yang memberikan pemahaman yang lebih mendalam, sesuai untuk segenap lapisan pengunjung sama ada yang celik teknologi mahupun yang penuh rasa ingin tahu.




Golongan pendidik juga boleh mempertingkatkan sesi pengajaran mereka dengan membuat permintaan untuk sesi bilik darjah secara langsung yang akan disesuaikan mengikut keperluan.
Dengan tumpuan terhadap ciri-ciri penggunaan yang mudah untuk digunakan, aplikasi mudah alih ‘MAG In Your Pocket’ memastikan pengunjung menikmati pengalaman muzium yang lancar.
Pengunjung dapat memperoleh maklumat yang sentiasa dikemas kini dengan pemberitahuan masa nyata, mendaftar dan mengikuti program dengan mudah, serta meneroka BNM MAG dengan mudah dan lancar menggunakan penunjuk laluan. Aplikasi ini direka bentuk untuk menjadikan setiap lawatan lebih menyeronokkan dan menarik.
Muat turun ‘MAG In Your Pocket’ hari lini dan terokai BNM MAG secara maya di hujung jari anda. Untuk maklumat lanjut, sila layari museum.bnm.gov.my atau ikuti kami melalui Facebook @BNM.MAG, Instagram@bnmmag dan X @BNM_MAG.
The post BNM MAG Melancarkan Aplikasi Mudah Alih ‘MAG In Your Pocket’ appeared first on Siakap Keli.


