Tular baru-baru ini satu data kadar pertukaran ringgit berada pada 4.98 berbanding dolar Amerika Syarikat yang telah dikongsikan oleh orang ramai.
Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan data yang dikeluarkan oleh Google adalah tidak tepat.
Dalam satu kenyataan, BNM menyatakan Google menerbitkan maklumat yang salah pada 15 Mac, dan ia tidak mencerminkan dagangan sebenar. Kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi 15 Mac 2024, dan 4.7045 pada pukul 5 petang.
Kadar intrahari juga tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
“Sepanjang dua minggu yang lalu(1 hingga 15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS.
“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024,” katanya.
Surat peringatan kepada Google
BNM berkata pihaknya telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari lalu. Susulan insiden salah lapor yang kedua, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca berlakunya pelaporan yang tidak tepat berlaku.
“Langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.
BNM dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar merujuk data rasmi dan mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti berhubung data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit mencecah RM4.98 seperti yang dipaparkan oleh Google.
Sumber: Astro Awani
The post BNM nafi kadar pertukaran ringgit 4.98, minta orang ramai rujuk data rasmi appeared first on The Reporter.


