BNM perkenal duit syiling peringatan sempena ulang tahun ke-100 UPSI
zulfadli
18/12/2023 - 11:58
KUALA LUMPUR 18 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
BNM berkata, duit syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi, iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
Katanya, Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) berbentuk segi empat sama yang pertama di Malaysia, diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram.
"Nilai muka duit syiling itu ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM440 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempah.
"Manakala, Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, mempunyai berat 8.5 gram.
"Dengan nilai muka sebanyak RM1, duit syiling itu akan dijual dengan harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempah. Duit syiling peringatan itu juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM495," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.


Katanya, bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
"Orang ramai boleh membuat tempahan menerusi laman web duit.bnm.gov.my mulai 11 pagi hingga 11 malam pada 1 Januari 2024.
"Mereka dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah," katanya.

Tambah kenyataan itu, semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.
Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya. - DagangNews.com


