BNM tubuh rangka kerja bebas pastikan MediAsas kekal mampu milik

LocalPersonal Finance
29 Jul 2026 • 6:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BNM tubuh rangka kerja bebas pastikan MediAsas kekal mampu milik

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mewujudkan satu rangka kerja tadbir urus bebas bagi memastikan produk baharu insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) MediAsas kekal relevan dan mampan seiring dengan perubahan kos penjagaan kesihatan.

Timbalan Gabenor BNM, Aznan Abdul Aziz berkata, produk tersebut tidak akan kekal statik selepas dilancarkan, sebaliknya akan melalui semakan berkala oleh sebuah lembaga bebas yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

“Inflasi perubatan akan terus meningkat dan produk ini juga perlu terus berkembang.

“Oleh itu, kami merancang untuk mewujudkan satu rangka kerja tadbir urus bagi menyemak secara berterusan ciri-ciri serta tahap kemampuan produk ini,” katanya dalam forum bertajuk Strategi RESET dan MediAsas: Menangani Tekanan Kos Perubatan ke Arah Masa Depan yang Mampan sempena Simposium Sasana 2026 di sini hari ini.

Antara panel terlibat Ketua Pegawai Eksekutif, ProtectHealth Corporation, Hazwan Najib, Pengarah, Bahagian Kesihatan Digital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Mahesh Appannan serta Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Transformasi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Yap Wei Aun.

Panel tersebut dipengerusikan oleh Penolong Gabenor, BNM, Suhaimi Ali.

Menurut Aznan, lembaga berkenaan akan dianggotai oleh wakil daripada pelbagai sektor bagi memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira dalam setiap semakan terhadap produk tersebut.

Katanya, MediAsas dibangunkan berasaskan tiga prinsip utama iaitu kemampuan, perlindungan yang bermakna, dan kemampanan jangka panjang.

“Daripada menawarkan pelbagai ciri yang jarang digunakan oleh pemegang polisi, MediAsas memberi tumpuan kepada perlindungan asas yang benar-benar diperlukan bagi membantu mengekang kenaikan premium.

“Adakah anda benar-benar memerlukan had perlindungan antara RM3 juta hingga RM5 juta? Mungkin tidak. Kami mereka bentuk produk ini untuk menyediakan perlindungan yang memenuhi kira-kira 99 peratus daripada tuntutan perubatan, dan ini diharapkan dapat menyumbang kepada kemampuan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, MediAsas turut mengandungi ciri-ciri yang menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan secara bertanggungjawab, termasuk pengelasan hospital mengikut kategori (hospital tiering), deduktibel dan pembayaran bersama (co-payment), bagi mengurangkan penggunaan berlebihan serta menggalakkan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti dan kos efektif.

“MediAsas merupakan salah satu daripada 11 inisiatif di bawah Strategi RESET, yang diperkenalkan setahun lalu bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta serta tekanan yang semakin meningkat terhadap premium insurans dan takaful perubatan,” katanya.

Mengenai program perintis yang sedang dijalankan, Aznan berkata, BNM memilih pendekatan pelaksanaan secara berperingkat walaupun produk itu telah melalui perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bersama syarikat insurans, penyedia perkhidmatan kesihatan, agensi kerajaan dan pakar perundangan.

Katanya, program perintis itu bertujuan mengenal pasti isu-isu operasi sebelum produk tersebut ditawarkan kepada orang ramai.

“Kami menjangkakan akan terdapat beberapa cabaran pada peringkat awal. Program perintis ini bertujuan membantu kami mengenal pasti ruang penambahbaikan melalui ujian menyeluruh dari hujung ke hujung, ” katanya.

Ujian tersebut akan menilai keseluruhan perjalanan pelanggan, termasuk proses pendaftaran, pengunderaitan, pemprosesan tuntutan serta aliran kerja operasi.

Pada masa sama, ia turut mengkaji kaedah untuk mempermudah pengeluaran Surat Jaminan dan proses tempahan janji temu dengan doktor.

MediAsas akan dilaksanakan pada awal Januari tahun hadapan.-UTUSAN

The post BNM tubuh rangka kerja bebas pastikan MediAsas kekal mampu milik appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved