Boeing ialah sebuah jenama yang cukup dikenali dengan pelbagai penawaran kapal terbang mereka, termasuklah kapal terbang Boeing 737 Max, Boeing 777 dan Boeing 787 Dreamliner mereka. Setelah menghadapi pelbagai isu beberapa tahun kebelakangan ini, seperti isu pintu Boeing 737 Max9 tercabut sewaktu penerbangan dan Boeing Starliner yang tidak boleh membawa balik kru yang terbang ke Stesen Angkasa Antarabangsa kerana masalah dengan kokpit. /

Kini, Boeing menghadapi satu masalah baru dimana seramai 33 ribu pekerja kilang mereka sedang mogok dan ini menyebabkan pengeluaran kapal terbang 737 Max9 mereka tergendala dengan teruk. Perkara ini nampaknya telah berlaku sejak pertengahan bulan September 2024, dan menyebabkan Boeing menghadapi kerugian yang serius kerana secara lazimnya, separuh daripada pembayaran sebuah kapal terbang hanya akan dilakukan selepas syarikat penerbangan menerima kapal terbang mereka.

Kelly Ortberg, CEO Boeing yang baru sahaja mengambil-alih jawatan tersebut telah membuat satu pengumuman besar dimana Boeing akan membuang sekitar 10 peratus, ataupun 17 ribu pekerja mereka, dimana ramai daripada mereka terdiri daripada eksekutif dan juga pengurus syarikat dalam masa beberapa bulan.
Perkara ini juga dilaporkan akan berlaku secara berperingkat, dan merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula Boeing untuk memastikan mereka kekal kompetitif dalam industri pengeluaran kapal terbang.
Dalam pada itu, pembangunan kapal terbang Boeing 777X juga akan ditunda. Kapal terbang tersebut, yang dijangka akan mula dihantar kepada syarikat-syarikat penerbangan pada tahun 2025, nampaknya hanya akan dilancarkan sekitar 2026 kelak.
