
KUALA LUMPUR: Seruan seorang pempengaruh supaya rakyat Malaysia memboikot perjalanan bermotosikal ke Hatyai, Thailand selepas mendakwa disaman secara tidak adil oleh polis negara itu hanya merugikan diri sendiri dan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
Pengerusi Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) Kuala Lumpur, Datuk Azman Maat berkata, tindakan itu tidak wajar kerana Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan erat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelancongan, pengangkutan dan kekeluargaan.
Katanya, pempengaruh terbabit sepatutnya tidak terlalu mengikut emosi sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian secara terbuka.
“Undang-undang di Malaysia dan Thailand mungkin ada sedikit perbezaan, tetapi masih mengikut standard antarabangsa.
“Apa sahaja saman yang dikeluarkan pihak berkuasa di luar negara, semestinya ada motif dan kesalahan yang kita lakukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Baru-baru ini tular video seorang pempengaruh media sosial yang mendakwa polis trafik Thailand mencari kesalahan terhadapnya dan rakan-rakan ketika berkonvoi ke Hatyai.
Dia kemudian menyeru rakyat Malaysia memboikot perjalanan ke destinasi pelancongan popular itu.
Bagaimanapun, Polis Trafik Hat Yai menafikan dakwaan membuli konvoi membabitkan 17 penunggang motosikal Malaysia yang ditahan untuk pemeriksaan.
Azman berkata, Thailand kekal antara destinasi pilihan utama penunggang motosikal Malaysia kerana kos penginapan berpatutan, makanan halal mudah diperoleh dan mempunyai banyak pelancongan menarik.
Selain itu, katanya, Thailand turut menjadi laluan strategik bagi penunggang motosikal yang mahu meneruskan perjalanan ke Laos, Myanmar, China dan negara lain.
Beliau berkata, penunggang motosikal perlu menghormati undang-undang negara yang dikunjungi bagi mengelakkan sebarang masalah. – UTUSAN
The post Boikot bermotosikal ke Thailand rugikan diri sendiri – SAM appeared first on Utusan Malaysia.
