Boikot Perbahasan LKAN 2021, Mas Ermieyati Tidak Layak Ketuai PAC – Kit Siang

Politics
9 Jun 2023 • 6:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mas Ermieyati (tengah) pada sidang media PAC di Parlimen semalam. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berpendapat Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak layak mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas memboikot perbahasan di Dewan Rakyat berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

Menurutnya, tindakan tersebut menunjukkan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu kurang kebebasan dan tunduk kepada arahan Perikatan Nasional (PN).

“Mas Ermieyati merendahkan kemampuannya untuk menjadi Pengerusi PAC bagi meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2021,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di blog miliknya, hari ini.

Jelas Kit Siang, dalam hampir setengah abad kerjayanya sebagai Ahli Parlimen, beliau amat gembira jika kerajaan bersetuju mengadakan perbahasan mengenai LKAN di Parlimen.

image is not available
Lim Kit Siang

“Namun Ahli Parlimen pembangkang menimbulkan huru-hara di Parlimen selama sejam dengan membantah LKAN 2021 dibahaskan dan lebih teruk lagi, memboikot perbahasan tersebut.

“Laporan itu biasa dibahaskan di Parlimen negara lain. Ia dirujuk kepada PAC kerana kerajaan hari ini tidak bersedia memberikan masa untuk perbahasan sebelum dirujuk kepada PAC untuk kajian dan siasatan penuh,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lalu kecoh selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul setuju supaya LKAN 2021 dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun mempersoalkan tindakan tersebut kerana ia didakwa bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan berkenaan dibuat bagi 'menghalang' usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Kit Siang turut mengesyorkan agar Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi meneliti LKAN 2021 dan 2022 manakala Mas Ermieyati pula memeriksa LKAN 2023.

“(Namun) Adalah lebih baik sekiranya Mas Ermieyati mencadangkan pertukaran Pengerusi PAC untuk meneliti LKAN bagi tahun 2021, 2022 dan 2023,” katanya. – Getaran, 9 Jun 2023