Boikot Starbucks akibatkan Berjaya Food rugi bersih RM29.76 juta pada 3QFY24, dua suku tahun berturut-turut rugi

Business & Finance
24 May 2024 • 7:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Boikot Starbucks akibatkan Berjaya Food rugi bersih RM29.76 juta pada 3QFY24, dua suku tahun berturut-turut rugi

herman

24/05/2024 - 07:45

KUALA LUMPUR 24 Mei - Berjaya Food Bhd (BFood) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM29.76 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) berbanding untung bersih RM15.94 juta setahun lalu.

Ini merupakan kerugian buat suku tahun kedua berturut-turut dengan 2QFY24, pengendali Starbucks Malaysia itu mencatat rekod kerugian bersih RM42.58 juta bagi suku berakhir 31 Dis 2023.

Kerugian dan pendapatan yang lebih rendah itu disebabkan tindakan pengguna Malaysia yang memboikot jenama tertentu susulan konflik di Palestin.

"Hasil yang lebih rendah dan kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku semasa dalam tinjauan adalah disebabkan terutamanya oleh sentimen semasa berhubung dengan konflik di Timur Tengah," kata BFood dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, BFood dalam satu kenyataan berkata, pendapatan Starbucks susut hampir separuh kepada RM138.65 juta akibat sentimen pengguna susulan konflik di Asia Barat.

Ujarnya, hasil yang diperoleh pada suku tersebut adalah sebanyak RM599.74 juta dan kerugian sebelum cukai RM44.65 juta berbanding hasil RM844.22 juta.

"Kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku semasa disebabkan oleh sentimen konflik yang berlaku di Timur Tengah.

“Penurunan hasil dan kerugian sebelum cukai disebabkan pelupusan kepentingan ekuiti entiti kumpulan dalam Jollibean Foods Sdn Bhd.

“Ia tidak termasuk perbelanjaan berkaitan pelaburan, sebelum cukai kerugian adalah RM34.15 juta dalam tempoh semasa,” katanya.

Menurut BFood, prestasi perniagaan dijangkakan bertambah baik menjelang baki suku tahunan berakhir 30 Jun 2024.

"Lembaga pengarah berpendapat prestasi operasi perniagaan syarikat akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024," katanya.- DagangNews.com