BOLA SEPAK – Liga Super: Sabah FC belasah Penang FC

Football
19 Mar 2023 • 11:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah FC membelasah Penang FC 5-2 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas pada malam Jumaat lalu.

Pada perlawanan penuh dramatik tersebut, kapten Park Tae-su menanduk masuk gol pembukaan selepas hanya tiga minit daripada sepakan sudut yang diambil oleh Jailton Paraiba.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan selama empat minit apabila rembatan Hassan Saad dari luar kotak penalti berjaya menemui jaringan untuk gol penyamaan.

Sabah FC kembali mendahului sebelum tamat separuh masa pertama apabila Darren Lok menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh penjaga gol pasukan pelawat beberapa minit sebelum itu.

Menerima sokongan padu kira-kira 12,000 penyokong di stadium, pasukan tuan rumah kelihatan lebih mengancam pada permulaan babak kedua dan mereka mendapat gol ketiga melalui Daniel Ting yang melakukan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol selepas satu lagi bantuan daripada Jailton pada minit ke-55.

Lima minit kemudian, Park menemui jaring sekali lagi, menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu menerusi rembatan jarak dekat selepas menerima hantaran Saddil Ramdani.

Pemain import Penang, Adriano Narcizo berjaya mengurangkan defisit pada minit pertama masa kecederaan dengan sepakan penalti selepas pengadil perlawanan memberikan penalti kerana kekasaran terhadap seorang pemain Penang FC, walaupun video ulang tayang menunjukkan sentuhan berlaku di luar kotak penalti.

Lebih banyak drama menyusul apabila satu lagi penalti diberikan dan kali ini memihak kepada Sabah FC pada minit ke-102 yang disempurnakan oleh pemain gantian Rizal Ghazali.

Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee terpaksa menyaksikan perlawanan di tempat duduk penonton berikutan kad merah yang diterima pada perlawanan terdahulu dan penolongnya Rastislav Bozik mengakui pasukan itu bermula perlahan tetapi berjaya meningkatkan permainan pada separuh masa kedua.

“Kami agak perlahan pada awal permainan tetapi cukup cekap untuk menjaringkan dua gol dari sepakan sudut dan penalti.

“Pemain diminta untuk lebih banyak menggerakkan bola semasa rehat di bilik persalinan.

“Itu memberi kami lebih banyak pilihan dan mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa kedua, dan kami kelihatan lebih baik,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Sabah FC kekal di tempat kedua dalam carta di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim FC, yang akan menjadi lawan mereka yang seterusnya pada 31 Mac.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.